Jika saingan EPL menyaksikan Leicester City mengesahkan kejuaraan sebelum perlawanan terakhir berlangsung, di pentas La Liga pula keadaan sebaliknya berlaku.

Sama ada Barcelona atau Real Madrid - ia akan ditentukan melalui perlawanan terakhir musim ini pada Ahad.

Sebelum wisel penamat ditiup pengadil perlawanan, kedua-dua kelab gergasi dunia itu hanya dibezakan dengan satu mata hasil 37 perlawanan.

Barcelona berada di puncak dengan 88 mata manakala Real di tempat kedua dengan 87 mata.

Dalam keadaan begitu Real tetap yakin. Pengurusnya Zinedine Zidane percaya kelab dipenuhi pemain bintang dunia itu akan mengungguli La Liga sekali lagi.

Mereka melangkah ke posisi kedua selepas menewaskan Valencia 3-2 dan Atletico Madrid yang turut bersaing, kalah kepada Levante semalam.

Ketika Barcelona mahu mengekalkan kejuaraan seperti musim lalu mereka, Zidane pula terpaksa mengharapkan skuad Luis Enrique tewas dalam perlawanan terakhir menentang Granada.

Real pula berdepan cabaran Deportivo La Coruna di Stadium Riazor.

Granada kini berada di tempat ke-16 La Liga manakala Deportivo di tangga ke-13.

Atas kertas, kualiti kedua-dua gergasi Sepanyol itu begitu jauh meninggalkan pencabar mereka namun ia bukanlah jaminan mutlak.

Pelbagai kemungkinan boleh berlaku sama ada bagi Real atau Barcelona.

Sebelum ini kelab bawahan itu pernah mencipta kejutan. Deportivo meraih kemenangan 2-0 ke atas Villarreal, manakala Granada menang besar 4-1 mengekang Sevilla.

"Kami perlu terus mengutip mata dan berharap Granada menampilkan persembahan terbaik pada perlawanan mereka (menentang Barcelona). Kami pula akan lakukan segala yang boleh untuk menang perlawanan kami," kata Zidane.