Klopp tarik balik 'hasutan' untuk peminat
Dek terlajak kata bersemangat Pengurus Liverpool Jurgen Klopp dipaksa menarik balik kenyataannya menjelang perlawanan akhir Piala Europa di Basel.
Daily Telegraph melaporkan terpaksa membuat pusingan 'U' selepas mendapat nasihat daripada polis dan pengurusan Liverpool sendiri.
Menurut mereka, ajakan Klopp kepada penyokong The Kop untuk 'menyerbu' bandar di Switzerland itu boleh menyebabkan huru-hara.
Untuk perlawanan akhir pada 18 Mei ini hanya 10,000 tempat duduk dikhaskan kepada Liverpool dan kebanjiran penyokong mungkin membahayakan.
Justeru pihak berkuasa bertungkus-lumus memastikan hanya penyokong yang mempunyai tiket saja datang ke Stadium St Jakob Park di Basel menyaksikan perlawanan menentang Sevilla.
"Uefa mengesahkan Liverpool menerima peruntukan hanya 10,236 tikat. Hasil pertemuan dengan Uefa dan jawatankuasa penganjur perlawanan akhir, kami meminta Liverpool menasihati penyokong mereka tidak datang ke Basel kecuali memiliki tiket sah," kata jurucakap polis Merseyside.
Menurut jurucakap itu Liverpool mempunyai peminat di seluruh dunia namun kemudahan di Basel terhad kepada jumlah kehadiran terkawal.
"Pengangkutan akan dihadkan dan semua tempat penginapan sudah ditempah," katanya.
Lupa apa dicakap
Pengurusan Liverpool sendiri membuat kenyataan meminta penyokong mereka bertenang.
"Sesiapa yang gagal mendapat tiket dinasihati tidak pergi ke Basel untuk menyaksikan perlawanan itu," katanya.
Sebelum ini Klopp - yang teruja dengan kemenangan mereka mengatasi Villarreal di separuh akhir di Anfield - mengajak penyokong The Kop memenuhi Basel.
Klopp menjanjikan seramai 100,000 'tentera merah' untuk Liverpool berdepan Sevilla di stadium yang hanya mampu memuatkan 35,000 penonton.
Selepas mengalahkan Watford 2-0 dalam saingan EPL malam tadi Klopp mengakui dia berlebih-lebihan ketika membuat kenyataan pada minggu lalu.
"Beberapa minit lalu saya dimaklumkan hari ini ialah perlawanan ke-49 saya bersama Liverpool. Maknanya saya sudah menghadiri sidang media sebanyak 5,000 kali.
"Bermaca-macam saya katakan dan saya tak ingat semua yang saya katakan. Cuma kali terakhir saya katakan, saya bercakap tentang Basel.
"Saya bercakap seolah-olah saya seorang penyokong dan bukan pengurus," katanya.
Mengakui ia "tidak terlalu bijak" Klopp berkata Basel sebuah bandar raya yang indah namun tidak bersedia menerima kedatangan terlalu ramai penyokong.
"Saya melakukan kesilapan dan saya tarik balik kata-kata saya.
"Jika ada tiada tiket, tolong jangan ke Basel. Tunggu di rumah atau tonton perlawanan secara langsung bersama rakan anda. Kemudian kita berpesta selepas itu," katanya.

