Untuk mendorong pemain bola sepak memberi sepenuh kesungguhan di ata pasang, formula imbuhan kepada mereka sepatutnya dirombak.

Daripada ganjaran berbentuk gaji, mereka boleh dirangsang untuk tampil lebih bersungguh-sungguh jika dijanjikan bonus mengikut terma tertentu.

Itu yang disarankan ejen pemain asing Mohamad Ibrahim Abdul Rahman yang melihat moral dan semangat berpasukan boleh ditingkatkan lagi jika kena caranya.

Kata Mohamad Ibrahim, setiap pasukan dalam liga Malaysia perlu menyelaraskan gaji pemain masing-masing.

"Ia tidak perlu terlalu tinggi sebaliknya pihak pengurusan pasukan boleh menyediakan bonus berdasarkan prestasi semasa perlawanan," katanya kepada Malaysiakini.

Gaji menjadi antara isu utama yang boleh menyukarkan pemain atau pasukan.

Selain dapat menyebabkan kedua-dua pihak terperangkap dalam isu penggajian, ia juga dikatakan membuka ruang kepada amalan rasuah atau jual beli perlawanan.

Malaysia pernah digemparkan dengan pendedahan skandal rasuah meluas membabitkan pelbagai pihak - termasuk pemain kebangsaan - pada 1990-an lalu.

Mudah rasa selesa

Akibatnya sebahagian mereka dihukum buang daerah dan dilarang terbabit dalam aktiviti bola sepak seumur hidup - sehinggalah keputusan itu dibatalkan semalam.

Mohamad Ibrahim yang berpengalaman menjadi ejen pemain asing sejak 1989 itu berkata, pemberian imbuhan yang tidak tetap lebih menyuntik semangat pemain untuk sentiasa beraksi lebih baik dalam setiap perlawanan.

"Begitu juga pasukan kebangsaan. Pada masa sama gaji pemain perlu diselaraskan supaya tidak wujud rasa cemburu sesama mereka.

"Kemudian untuk membolehkan mendapat ganjaran tambahan, mereka perlu memberikan persembahan terbaik dan fokus kepada setiap perlawanan," katanya.

Justeru menurut Mohamad Ibrahim, dalam situasi sekarang (pemain mendapat gaji berbeza antara satu sama lain) menyebabkan pemain mudah berasa selesa dan kurang mengambil berat terhadap prestasi sendiri.

Memberikan contoh, Mohamad Ibrahim berkata, seorang pemain yang dijanjikan gaji RM50,000 sebulan boleh bersikap sambil lewa ketika bermain kerana apa pun keputusan perlawanan, dia tetap mendapat ganjaran sama.

"Itu tidak menyuntik motivasi tinggi kepada pemain beraksi di tahap 100 peratus. Jika ada bonus, mereka tentu mahu menang dan menikmati intensif tersebut.

"Jika perkara ini dapat direalisasikan, saya yakin kita dapat melihat persaingan sengit dan prestasi lebih baik untuk sukan bola sepak di Malaysia," katanya.

Tambah Mohamad Ibrahim, setiap pengurusan pula perlu berbelanja mengikut kemampuan dalam aspek penggajian pemain - sama ada pemain tempatan atau import.

"Sudah banyak kita kita dengar cerita masalah tunggakan gaji pemain dan ia boleh dikatakan berulang setiap musim.

"Isunya, mengapa pengurusan terbabit tidak mengukur kemampuan kewangan mereka terlebih dulu?" katanya.