Berada di perlawanan terakhir untuk menentukan gelaran juara mutlak La Liga musim ini, ia memang tidak selalunya mudah bagi kelab gergasi Barcelona.

Berdasarkan rekod, Barcelona pernah merangkul kejuaraan liga Sepanyol itu sebanyak 23 kali dengan sembilan daripadanya ditentukan di perlawanan terakhir.

Untuk menjulang kejuaraan ke-24 ia akan ditentukan melalui perlawanan terakhir mereka bagi musim ini. Kelab yang akan didepani Sabtu ini ialah Granada dan perlawanan berlangsung di Stadium Nuevo Los Carmenes.

Pada perlawanan terakhir musim 1928/29, skuad Blaugrana mencatat kemenangan 5-0 ke atas Arenas, manakala pesaing utama mereka - Real Madrid - tewas 0-2 kepada Athletic Bilbao.

Keputusan itu menyaksikan Barca mengatasi Real dengan kelebihan dua mata.

Selepas itu, kedua-dua pasukan itu saling berebut gelaran pada musim 1959/60, 1991/92, 1992/93 dan 2009/10.

Empat musim tersebut memihak kepada Barca.

Empat lagi kejuaraan Barcelona yang dicipta melalui perlawanan terakhir liga ialah melalui kemenangan ke atas Valencia pada musim 1947/48, 1948/49 dan 1952/53, manakala pada musim 1993/94 Barca mengetepikan Deportivo La Coruna.

Barca yang kini dibimbing Luisi Enrique tentu berharap dapat mencipta detik manis lagi pada musim ini. Namun, mereka perlu menewaskan Granada atau mengharapkan Real kalah kepada Deportivo pada perlawanan terakhir nanti.

Selepas 37 perlawanan, Barca mengumpul 88 mata berbading Real di posisi kedua dengan 87 mata.