Ranieri tak berahi mainan gaya tiki-taka
Pengurus Leicester City, Claudio Ranieri, mengakui beliau tidak suka gaya taktikal tiki-taka yang mengutamakan penguasaan bola.
Sebaliknya sebagai jurulatih dari Itali Ranieri lebih mengutamakan pertahanan kental.
Falsafah dipegang Ranieri itu dapat dilihat ketika beliau dilantik sebagai pengemudi Sepanyol, Valencia pada 1997.
Ia adalah kelab bukan Itali pertama dikendalikan Ranieri sepanjang kariernya sebagai pengurus pasukan bola sepak.
Seperti kebanyakan kelab di Sepanyol, Valencia dituntut memperagakan keindahan dalam persembahan mereka.
Namun dalam keadaan itu Ranieri bertegas dengan gaya yang dipercayainya dan menjadi fahaman bola sepak Itali.
"Di Valencia pada awal 1990-an, mereka meminta saya menggunakan tika-taka. Saya jawab, anda melantik jurulatih yang salah. Saya tidak suka penguasaan bola," katanya.
Menurut Ranieri beberapa pemain Valencia ketika itu juga ingin menjadi seperti Rivaldo dan Luis Figo di Barcelona.
Berlari sepanjang masa
Namun, katanya, dia menegaskan tidak perlu meniru gaya Rivaldo atau Figo secara individu, tetapi pada masa sama masih mencontohi pemain terbaik dunia itu melalui cara hantaran serta umpanan silang yang tepat ke sasaran.
Pembawaan taktikal beliau itu terbukti berhasil. Valencia menamatkan dua musim berturut-turut di kelompak keempat teratas liga.
Malah mereka turut layak beraksi pada saingan kelayakan Liga Juara-juara.
Dan kini, gaya permainan itu masih kekal diyakini Ranieri untuk memimpin Leicester City.
Menurut laman sesawang WhoScored.com, berbanding pasukan lain yang dianalisis dari sudut penguasaan bola Leicester berada di kedudukan ke-18 dengan purata 44.7 peratus.
Namun penguasaan yang mininum itu 'ditebus' taktikal aksi agresif, pertahanan kentas dan serangan balas pantas rekaan Ranieri.
Untuk membolehkan taktikal itu berkesan, Ranieri menuntut barisan pemainnya sentiasa berlari di sepanjang perlawanan.
"Saya berpesan kepada Shinji Okazaki dan Jamie Vardy. Saya mahu mereka bermain seperti jet pejuang yang menyertai perang.
"Jangan lupa saya juga memiliki N'Golo Kante di posisi tengah. Tiada pemain yang boleh berlari sepertinya," kata jurulatih berusia 64 tahun itu.
Hasilnya, musim ini The Foxes melakukan sesuatu di luar dugaan penyokong. Buat kali pertama dalam 132 tahun sejarah kelab itu, mereka menjuarai EPL.

