JDT 3 Bengaluru FC 0
Tanpa menurunkan pemain import, JDT terus membuktikan kekebalan mereka dengan menewaskan Bengaluru FC dalam saingan Piala AFC, sebentar tadi.
Pada aksi terakhir peringkat kumpulan H, skuad Harimau Selatan mengutip tiga mata penuh dengan membenam kelab dari India itu dengan jaringan 3-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Percaturan Mario Gomez membariskan pemain tempatan pada awal masa permainan dilihat tidak meyakinkan.
Malah, taktikal JDT kurang memberi ruang besar untuk mereka mencipta jaringan.
Itu menyebabkan pasukan pelawat dapat mengimbangi asakan tuan rumah walaupun tiada sebarang gol dihasilkan di separuh masa pertama.
Gandingan Safee Sali, Amri Yahyah, Shakir Shaari dan Nazrin Nawi gagal meletakkan JDT didepan sepanjang tempoh 45 pertama.
Sehingga tonggak tengah mereka, Safiq Rahim masuk menghidupkan rentak penguasaan JDT di separuh masa kedua.
Safiq berjaya memecah kebuntuan rakan-rakan dengan jaringan cantik mengelirukan penjaga gol Bengaluru, Amrinder Singh.
Jaringan di minit ke-70 itu ternyata menyuntik keghairahan pemain JDT untuk menambah jaringan.
Walaupun sedar mereka sudah menempah slot ke pusingan seterusnya, anak buah Gomez tidak mudah selesa dan tetap mencipta jurang buat pasukan lawan.
Umpanan melalui hantaran terus Safiq bijak diambil peluang oleh Safee untuk gol kedua mereka, lapan minit kemudian menjadikan kedudukan 2-0.
Langkah Bengaluru untuk menyaingi JDT nampaknya serba tidak kena, malah mengundang derita apabila mengasari pemain tuan rumah dalam kotak penalti.
Dan penalti dihadiahkan pengadil pada hujung permainan itu mudah disempurnakan Shakir.
Untuk rekod, kemenangan itu melengkapkan penyadang juara musim lalu itu dengan rekod tanpa kalah sepanjang musim 2016.
JDT mengumpul 18 mata hasil enam perlawanan sekali gus mendahului kumpulan H dan menjadi wakil tunggal Malaysia selepas Selangor mengikut jejak langkah mereka.

