Penyerang berbisa Liverpool, Daniel Sturridge mendedahkan dia mempunyai impian terpendam lain daripada yang lain.

Selain bermain di atas padang menghijau Sturridge rupa-rupanya teringin menjadi lelaki sasa yang dapat membelasah - atau dibelasah - dalam gelanggang gusti.

Penggusti idolanya pula bukan sembarangan. Di hati Sturridge bintang WWE yang amat diminatinya ialah The Undertaker.

Dalam wawancara bersama The Guardian, Sturridge, 26, mengakui tarikan beliau dalam sukan gusti bermula sejak zaman kanak-kanak lagi.

"Jujurnya, pada usia muda saya mahu menjadi seorang ahli gusti. Sungguh, saya bukan melawak.

"Pada dasarnya ia adalah impian hampir setiap kanak-kanak. Ketika itu, anda tidak memahami sama ada gusti adalah benar ataupun tidak, namun ia pengalaman yang amat menyeronokkan." katanya.

Sturridge lahir di Birmingham pada 1 September 1989 dan dilatih sebagai pemain bola sepak di akademi Aston Villa sebelum berpindah ke Coventry City.

Pilih nama tak jahat

Pada 2003 dia menandatangani kontrak dengan Manchester City dan bermain dalam dua perlawanan akhir Piala FA Belia bersama kelab itu.

Sturridge bermain dalam kesebelasan utama City pada musim 2007/08 dan berjaya mencetak namanya sebagai antara penjaring gol.

Dia kemudian menjadi satu-satunya pemain yang membolosi gawang lawan dalam Piala FA Belia, Piala FA dan EPL pada musim yang sama.

Sturridge kemudian berhijrah ke Chelsea pada 2009 dan dipinjamkan ke Bolton Wanderers pada pertengahan musim 2010/11 season.

Dia kembali ke Chelsea sebelum berpindah pula ke Liverpool pada Januari 2013.

Kata Sturridge, ketika kanak-kanak dan membesar menjadi remaja dia kekal mengagumi The Deadman - nama lain untuk The Undertaker.

"The Undertaker adalah penggusti kegemaran saya. Persembahan dan cara penampilannya amat mengerunkan," katanya.

Jika dia tidak menyerlah dalam sukan bola sepak 15 tahun lalu, memang ada kemungkinan dia akan mencuba nasib menjadi penggusti untuk menuruti langkah The Undetaker.

"Saya mungkin menggunakan nama Striker, atau Hamstring. Ia kedengaran menarik dan tidak jahat," katanya sambil ketawa.

Kini tidak mungkin untuk Sturridge mencuba nasib menjadi penggusti profesional.

Selain sedang menikmati kegemilangan sebagai pemain bola sepak, keghairahan Sturridge juga memudar selepas menyedari gusti WWE sekadar sukan untuk hiburan.

Sturridge juga mengakui selain menjadi penggusti profesional dia mungkin mencuba nasib dalam dunia hiburan televisyen. Malah mungkin juga menjadi tokoh dalam bidang fesyen.

"Jika saya bukan pemain bola sepak, saya mungkin menjadi pemuzik, bekerja di stesen televisyen atau bidang rekaan fesyen," katanya.