Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta semua pihak tidak membuat andaian berhubung penemuan sepucuk pistol yang ditemui dalam kenderaan pemain bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Safee Sali.

Khalid berkata, polis masih melakukan siasatan dan pihak yang bersalah akan dihadapkan di mahkamah.

"Kita siasat dulu. Kereta itu bukan dia (Safee Sali) yang bawa, tetapi orang lain yang guna. Jadi orang itu sudah ditangkap, biar kita (polis) siasat dulu.

"Usah kita terus buat andaian pemain bola sepak yang punya pistol. Biar kita jalankan siasatan terperinci.

"Sesiapa sahaja yang bertanggungjawab terhadap senjata api itu akan dihadapkan ke mahkamah," katanya.

Khalid berkata demikian dalam media selepas Majlis Penyerahan Cek Oleh Pengerusi DRB-HICOM untuk penajaan pendingin hawa di Surau Maktab PDRM Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Semalam, Berita Harian Online melaporkan sepucuk pistol bersama 30 butir peluru ditemui di dalam kereta Safee.

Ketika kejadian, kenderaan Safee yang dipandu seorang pemilik kedai aksesori kenderaan pacuan empat roda (4WD) ditahan polis trafik ketika melalui sekatan jalan raya di susur keluar Kempas, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara.

Hasil pemeriksaan polis menemui sepucuk pistol disimpan dalam sebuah beg kuning di tempat duduk belakang Ford Ranger itu.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd mengesahkan suspek lelaki berusia 34 tahun dalam kes itu tiada kaitan dengan Safee.

Beliau berkata, Safee telah menghantar kenderaannya ke kedai aksesori suspek untuk diubah suai minggu lalu dan bercadang mengambil kenderaannya selepas perlawanan akhir Piala FA kelmarin.