Pengarah sukan JDT bangga 6 trofi dalam 3 tahun
Pengarah sukan JDT Alistair Edwards hari ini menyatakan rasa bangganya terhadap pencapaian memberangsangkan pasukannya dalam tahun-tahun terakhir ini.
Katanya, dalam tempoh tiga tahun sahaja, pasukan yang baru merangkul Piala FA Sabtu lalu itu, sudah merangkul enam trofi utama.
“Ini adalah suasana yang terbaik pernah saya lihat selama ini di dalam dunia bola sepak.
“Saya amat berbesar hati menjadi sebahagian dari sebuah kelab yang dikendalikan secara sangat profesional,” katanya.
Dalam pencapaian terbarunya Sabtu lalu, JDT merangkul Piala FA setelah menewaskan Selangor PKNS FC dengan jaringan 2-1.
Dalam kenyataan di Facebook hari ini, Edwards berkata beliau amat kagum apabila sebuah pasukan seperti JDT berjaya menyatukan rakyat Johor.
Sementara itu, pemain-pemain JDT turut mengulas kejayaan mereka di Stadium Shah Alam kelmarin.
Safiq Rahim:
“Kejuaraan ini memberi satu lagi cabaran buat kami untuk terus melangkah jauh dan membalas kepercayaan yang diberikan selama ini. Kami suka melakukannya.”
Amri Yahyah:
“Kemenangan ini amat bermakna buat pasukan dan istimewa dihadiahkan kepada penyokong yang sentiasa menyokong kami dari awal hingga tamat perlawanan.”
Aidil Zafuan:
“Salah satu faktor kemenangan kami adalah penyokong kami yang tidak pernah berhenti memberikan semangat dan sokongan kepada kami.”

