Biasanya di sebalik jersi pemain bola sepak, tersimpan susuk tubuh mereka yang sasa dan kekar.

Namun nampaknya itu belum memadai untuk kelab Sepanyol, Deportivo Palencia.

Mungkin untuk menggerunkan lagi musuh mereka di atas padang pengurusan kelab bawahan itu memperkenalkan jersi unik memaparkan imej otot manusia.

Menampilkan dua warna - merah dan ungu - jersi tersebut akan digayakan untuk kali pertama pada aksi play-off bagi melayakkan mereka naik ke divisyen lebih atas.

Dengan memperagakan jersi tersebut, pemain kelihatan lebih tegap dan bertenaga kerana corak pada jersi melambangkan bentuk badan berotot - atau barangkali menepati istilah 'sado' di Malaysia.

Jersi tersebut memperlihatkan bentuk tubuh lelaki sasa yang lengkap apabila disempurnakan dengan seluar pendek.

Deportivo Palencia melalui akaun Twitter mereka menyiarkan gambar barisan pemain mengenakan jersi tersebut sekali gus mengejutkan ramai peminat.

Media Sepanyol melaporkan, perancangan dan penyediaan jersi tersebut dibuat oleh syarikat pakaian sukan terkenal dari Itali, Kappa.

Menurut laporan The Local, jersi unik itu memberi imej visual nyata bagi melambangkan kesungguhan pemain beraksi sepenuh hati di atas padang.