Pernah membawa kelabnya menjulang Piala Juara-juara dan mengemudi pasukan gergasi dunia, kini Rafael Benítez bersedia melatih Newcastle yang terpaksa bermain di liga bawahan England musim depan.

Media tempatan melaporkan Benitez, 56, sudah di peringkat akhir perbincangan memuktamadkan kontrak bersama Magpies selepas pemilik kelab itu, Mike Ashley, memberi jaminan semua kehendaknya akan dipenuhi.

Semalam Benitez memulakan perbincangan dengan Pengarah Urusan Newcastle, Lee Charnley, berhubung isu perpindahan pemain.

Turut dibincangkan, peruntukan kelab untuk membawa masuk pemain berpotensi ke Newcastle.

Kata sumber, isu berkenaan kemungkinan besar akan dimuktamadkan beberapa hari lagi.

"Benitez mahu semua persetujuan kelab dibuat secara bertulis tetapi difahamkan dia begitu bersemangat kerana perbincangan antara kedua-dua pihak berlangsung amat positif," katanya.

Sementara itu kecepatan rundingan itu berlangsung memang mengejutkan ramai dan keputusan rasmi Benitez untuk kekal di Newcastle mungkin diumumkan menjelang hujung minggu ini.

Ashley beri kebebasan

Kata sumber, satu-satunya kemungkinan yang akan merosakkan proses itu ialah tawaran kelab lain yang mungkin boleh menggoyangkan keyakinan Benitez.

Walaupun membenam Tottenham Hotspur 5-1 di perlawanan terakhir EPL Ahad lalu Newcastle gagal menyelamatkan diri daripada tersingkir ke liga bawahan England.

Daripada 38 perlawanan Newcastle hanya memperoleh 37 mata. Turut tersingkir ke liga kedua England ialah Norwich City dan Aston Villa.

Magpies menggunakan khidmat bekas pengurus England, Steven McClaren di awal musim namun prestasi dipamerkan amat lemah sehingga menjerumuskan kelab itu ke bawah liga.

Benitez hanya diambil sebagai pengurus mulai 11 Mac lalu ketika baki perlawanan tidak mencukupi untuk dia menggunakan kepakarannya menyelamatkan keadaan.

Sebelum ini Benitez pernah mengurus Chelsea, Real Madrid dan Liverpool.

Kesungguhan Newcastle kembali ke EPL dapat dilihat dengan keyakinan diberi Ashley untuk memberikan segala sumber diperlukan Benitez pada musim depan.

Ashley juga - untuk kali pertama sejak dia membeli Newcastle pada 2007 - memberikan sepenuh kebebasan kepada Benitez memilih pemain yang akan dikekalkan atau dilepaskan.