Posisi Simon Mignolet sebagai penjaga gol utama Liverpool kini terancam. Ia susulan skuad Jurgen Klopp dilaporkan akan menampilkan penjaga gawang muda yang lebih berpotensi.

Pemain skuad junior kebangsaan Jerman, Loris Karius dikatakan bakal meninggalkan kelab asalnya FSV Mainz untuk menyertai The Kop di Anfield musim depan.

Media di Jerman melaporkan, penjaga gol berusia 22 tahun itu bersedia untuk menggantikan peranan Mignolet.

Pemerhati bola sepak Jerman menyifatkan Karius seorang penjaga gol muda berpotensi besar ketika beraksi di Bundesliga. Malah kedudukannya juga diletakkan sebagai pengganti penjaga gol nombor satu Jerman ketika ini, Manuel Neuer.

Bagaimanapun, Karius masih terikat dengan kontrak bersama Mainz sehingga 2018 dan Liverpool terpaksa berbelanja 10 juta euro (RM45.5 juta) sebagai penebus kontrak itu.

Perpindahan Karius ke kelab besar seperti Liverpool itu disokong jurulatih pasukan kebangsaan bawah 21 tahun Jerman, Horst Hrubesch.

"Sungguh bangga apabila melihat ramai penjaga gol berbakat dilahirkan Jerman. Setiap daripada mereka memiliki masa depan terjamin.

"Saya yakin pemain seperti Karius akan segera ke kelab besar," katanya.

Pengakhiran musim ini menyaksikan anak buah Klopp sekadar di kedudukan kelapan EPL dan kelemahan di bahagian pertahanan termasuk penjaga gol memberi kekangan buat The Kop.

Sepanjang musim 2015/16, gawang Liverpool dibolosi sebanyak 50 gol berbanding 48 jaringan yang dibuat pemain berkenaan.

Justeru, dengan kehadiran Karius bawah asuhan jurulatih dari negaranya pemain itu diyakini menjadi pelaburan jangka masa panjang yang tepat buat Liverpool.