Kedah terpaksa melupakan khidmat Sandro Da Silva dan Muhammad Syazwan Tajuddin untuk perlawanan Liga Super menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Darul Aman, malam esok.

Ketua jurulatihnya Tan Cheng Hoe berkata Da Silva dan Muhammad Syazwan terpaksa direhatkan berikutan kecederaan tetapi ia bukan alasan untuk pasukannya tidak menunjukkan aksi yang diharapkan bagi mencari kemenangan di laman sendiri.

"Sandro telah pulang ke Brazil untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan tulang belakang manakala Muhammad Syazwan dijadualkan menjalani pembedahan lutut kanan pada 24 Mei ini.

"Walaupun ketiadaan mereka sedikit menjejaskan kekuatan pasukan, ia tidak akan menjadi penghalang buat kami beraksi dengan baik. Ketua pasukan, Khairul Helmi Johari juga akan kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan tulang belakangnya," katanya kepada Bernama Hari ini.

Menurutnya, skuad Kedah perlu menunjukkan aksi yang baik dalam perlawanan menentang PDRM bagi memperbaiki kedudukan mereka dalam liga selepas berada di tangga ketujuh, terikat 12 mata dengan Kelantan dan Terengganu.

Tan berkata, Kedah perlu menang pada perlawanan malam esok selepas keciciran mata apabila seri bertemu Perak, Sarawak, Selangor, Pulau Pinang, Johor Darul Ta'zim dan Pahang

Malah hanya menang dua kali ke atas Terengganu dan Kelantan.

"Memandangkan semua pemain berada dalam keadaan baik selepas berehat hampir dua minggu, saya harap mereka dapat mempamerkan aksi yang konsisten sepanjang 90 minit perlawanan kerana PDRM juga mempunyai barisan yang hebat.

"Kami perlu gunakan kelebihan bermain di halaman sendiri untuk mengumpul mata sebagai bekalan," katanya.

-Bernama