Siapa pemain cuba digoda Arsenal?
Siapakah pemain bernama Granit Xhaka yang kini dilaporkan sedang diburu Arsenal sebagai persediaan kelab itu melalui cabaran musim depan?
Media Britain melaporkan Arsenal sedang menggiatkan usaha mengikat Xhaka menjelang sepak mula kejohanan Euro 2016.
The Gunners dilaporkan membuat tawaran bernilai £33 juta (RM191.5 juta) kepada kelab Xhaka, Borussia Monchengladbach.
Pengurus berpengaruh dan pemenang dua Piala Juara-juara Eropah Ottmar Hitzfeld adalah antara orang yang mengagumi pemain tengah yang dianggap kreatif itu.
Sebelum ini Ottmar menyatakan secara terbuka pemain antarabangsa Switzerland itu sebagai "sememangnya pemain kelas atasan dan mampu beraksi dengan mana-mana pasukan gergasi dunia".
Latar belakang
Ketika bermain dia kelihatan begitu matang di sebalik usianya baru 23 tahun. Di Bundesliga Xhaka dianggap jantung kepada Monchengladbach.
Dia tiba di Monchengladbach pada 2012 dari kelab negara asalnya, Basel, dengan yuran perpindahan £6.3 juta (RM36.6 juta). Sebelum itu dia dinamakan sebagai pemain muda terbaik Liga Perdana Switzerland.
Ketika bersama Basel Xhaka berjaya membantu kelabnya melangkah hingga ke peringkat kalah mati dan mengalahkan Manchester United.
Xhaka lahir daripada pasangan suami isteri berketurunan Albania Kosovo dan mula menarik perhatian antarabangsa sejurus selepas berusia 18 tahun.
Di Basel, dia mula diberi keyakinan bermain dalam kesebelasan utama ketika masih berusia 17 tahun. Bersama mencipta nama di Basel ketika itu ialah Xherdan Shaqiri.
Gaya permainan
Dengan bakat semulajadi Xhaka mampu membaca corak permainan dengan baik, walaupun pada masa sama agak kasar dan nakal pada ketika tertentu.
Sesetengah orang menganggapnya hampir dengan cara permainan pantas Dele Alli di Tottenham Hotspur.
Ketika bertahan Xhaka boleh membantu benteng pasukannya tetapi 10 saat kemudian sudah berada di kawasan lawan mencari ruang untuk menjaringkan gol.
Kemahiran menyambut hantaran pula, pemerhati mengaitkan Xhaka dengan pemain Arsenal, Jack Wilshere. Cuma setakat ini pemain muda itu dianggap lebih baik berbanding Wilshere.
Impian
Tanpa berselindung Xhaka menyatakan keinginannya untuk beraksi di EPL.
"England adalah medan cita-cita saya. Sama ada saya akan gembira di sana, hanya tuhan yang mengetahui," katanya.
Menurut Xhaka, wang bukan faktor utama pertimbangan kerana ia dibuktikan dengan tindakannya meninggalkan Basel ke Monchengladbach pada 2012.
"Apa yang saya cari adalah cabaran," katanya.
Semalam Monchengladbach mengesahkan kelab itu menerima bidaan untuk mendapatkan Xhaka daripada sebuah kelab Inggeris. Bagaimanapun identiti kelab itu tidak didedahkan.
Sumber pula mengesahkan kelab yang berminat kepada Xhaka itu ialah Arsenal.
Namun di sebalik kegembiraan khabar itu penganalisis juga berharap Arsenal berhati-hati kerana corak permainan Xhaka mungkin menyebabkan mereka berdepan masalah.

