FAM nafi tak bincang dengan Kafa
FAM hari ini menafikan tiada perbincangan dilakukan dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berhubung masalah tunggakan gaji bekas pemain pasukan negeri itu.
Penafian itu dibuat ekoran kenyataan Tan Sri Annuar Musa sebelum ini yang mendakwa FAM tidak pernah duduk berbincang bagi mendengar masalah dihadapi Kafa.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya sentiasa berbincang bersama Kafa dan membantu serta memberi peluang untuk mereka menyelesaikan masalah tersebut.
"(Kenyataan) Tan Sri Annuar tak betul, saya sentiasa berhubung dengan Datuk Ismail Md Noor (setiausaha Kafa) melalui pertemuan dan telefon.
"Kafa juga mahu menghantar surat pemohonan bagi melanjutkan tempoh pembayaran gaji yang tertunggak," katanya pada sidang media di Wisma FAM Kelana Jaya, hari ini.
Difahamkan lima bekas pemain Kelantan yang belum menerima tunggakan gaji tersebut ialah Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan, Muhammad Nazri Ahmad, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Fitri Omar yang menamatkan kontrak mereka dengan Kafa untuk menyertai pasukan lain.
Hamidin berkata, pihaknya akan cuba membantu semaksimum mungkin mana-mana pasukan yang menghadapi masalah.
"Saya dan FAM dah banyak bantu sehingga sampai saya tahap kita rasa sudah cukup untuk membantu," jelasnya.
Tambah beliau, tidak mustahil suatu masa nanti ada pasukan yang akan diambil tindakan mengikut prosedur ditetapkan.
"Tindakan seperti pemotongan mata, dilarang pengambil pemain baru pada musim perpindahan, diturunkan ke liga bawah dan akhir sekali tidak dibenarkan beraksi musim seterusnya," katanya menjelaskan tindakan bakal dikenakan ke atas pasukan yang gagal menyelesaikan masalah mereka.
Sebelum ini Annuar yang juga Presiden Kafa mengingatkan FAM supaya memahami masalah dihadapi persatuan berkenaan.
Kata anggota parlimen Ketereh itu jika FAM masih mahu menghukum Kelantan, tidak ada apa yang boleh dilakukannya tetapi badan induk bola sepak negara itu perlu memahami ia hanya akan merumitkan keadaan.

