Chen Long 'terlebih berfikir' di gelanggang
Menjadi pasukan pilihan dan bermain di gelanggang sendiri namun pasukan China tersingkir di suku akhir Piala Thomas malam tadi.
Dan pasukan yang mengalahkan mereka 3-1 ialah Korea Selatan.
Pasukan China terpaksa bergelut untuk mendapatkan mata selepas pemain utama mereka Chen Long tumpas kepada Son Wan-ho dalam perlawanan mendebarkan.
Son - pemain kesembilan dunia - mengambil masa 1.27 jam untuk mengetepikan Chen 21-12, 16-21 dan 21-15.
Menurut pandangan Chen, kunci kemenangan Son ialah kesabaran.
"Saya terlalu banyak berfikir," kata Chen.
Selepas itu China terus tenggelam dalam masalah apabila beregu mereka Fu Haifeng/Zhang Nan dikalahkan Lee Yong-dae/Yoo Yeon-seong.
Sama seperti perlawanan perseorangan sebelumnya, pertembungan pasangan beregu itu juga mendebarkan.
Kalah di set pertama, Lee dan Yoo bangkit di set kedua sebelum menang dengan bergaya pada set penentuan.
Perlawanan berakhir dengan keputusan Korea Selatan mengalahkan beregu China itu 23-25, 23-21, 21-12
Perseorangan kedua China, Lin Dan, sempat menaikkan semangat pasukan China seketika apabila meletakkan kedudukan 1-2 apabila mengalahkan Lee Dong Keun.
Lee tumpas kepada Lin Dan 10-21, 15-21.
Ketika China perlu mencari kemenangan untuk menyelamatkan keadaan, Korea Selatan pula kurang tertekan kerana hanya perlukan satu lagi mata.
Ia diperolehi apabila beregu Kim Gi-jung/Kim Sa-rang mengesahkan kemenangan Korea Selatan apabila mengetepikan cabaran Li Junhui/Zheng Siwei 21-15, 21-18.
Di peringkat separuh akhir hari ini Korea Selatan akan berdepan satu lagi pasukan yang mempunyai sejarah menarik di Piala Thomas, Indonesia.
Malaysia pula berdepan Denmark yang mengalahkan Jepun 3-2 malam tadi.

