Piala Thomas 2016: Indonesia ke pentas akhir
Awas kepada mana-mana pasukan yang akan ke pusingan akhir Piala Thomas.
Semalam Korea Selatan mengejutkan dunia sukan dengan mengetepikan cabaran pasukan gergasi badminton dunia, China di gelanggang mereka sendiri.
Hari ini impian indah Korea Selatan terbantut apabila mereka pula dikalahkan Indonesia sebentar tadi.
Skuad Indonesia melangkah bergaya ke pusingan akhir Piala Thomas selepas menumpaskan Korea Selatan 3-1 pada aksi separuh akhir di Kunshan, China.
Walaupun pemain perseorangan Indonesia Christie Johatan tewas kepada Son Wan Ho 10-21, 16-21, bekas juara Piala Thomas edisi 2002 itu bangkit menyamakan kedudukan melalui pasangan beregu Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan.
Dicabar Lee Yong dae dan Yoo Yeon Song, gandingan Indonesia mencatat kemenangan mudah dengan keputusan 21-15 dan 21-12.
Indonesia kemudian mendahului Korea Selatan selepas seorang lagi jaguh perseorangan mereka, Ginting Anthony menumpaskan Lee Dong Keun dalam dua set berturut-turut.
Skuad Garuda akhirnya mengesahkan kelayakan mereka ke pentas final dengan kejayaan pasangan beregu Angga Prataman/Ricky Karanda Suwardi mengetepikan gadingan Kim Gi Jung/Kim Sa Rang 21-15 dan 21-18.
Kali terakhir skuad Indonesia ke pusingan akhir ialah pada 2010. Pasukan yang akan mendepani mereka akan diketahui selepas jam 7 malam ini apabila Malaysia mencabar Denmark.
Perlawanan akhir bagi menentukan juara mutlak edisi ini akan dilangsungkan pada jam 1 petang Ahad ini.

