EPL musim ini melabuhkan tirainya. Ketika pengurus kelab sibuk membuat percaturan musim depan dan pemain berehat, Mesut Ozil memilih untuk ke Mekah menunaikan umrah.

Ia hanya diketahui selepas beberapa peminat merakamkan imej pemain kebangsaan Jerman itu di tanah suci.

Rakaman itu kemudian tersebar meluas di media sosial.

Mempunyai darah Turki Ozil, 27, adalah seorang daripada pemain terkemuka dunia yang beragama Islam.

Sebelum ini dia meluangkan masa menghadiri klinik bola sepak untuk kanak-kanak di Dubai.

Dia juga melawat pelarian perang Syria di Jordan dan menghabiskan sedikit masa bermain bola sepak dengan sebahagian penghuni Kem Zaatari itu.

Tahun lalu Ozil - kini bermain dengan Arsenal - pernah memberitahu wartawan, antara perkara penting dalam hidupnya ialah menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak.

"Saya sedar asal-usul saya. Dulu saya mahukan sesuatu dan tidak mendapatnya. Saya faham perasaan itu," katanya.