Enam perlawanan pertama pusingan kedua Liga Super 2016 menyaksikan tiga pasukan tuan rumah menjadi 'lauk' di hadapan penyokong masing-masing.

Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, menyaksikan Kelantan tewas 2-5 dibelasah Selangor.

Dengan kehadiran penyokong yang memenuhi stadium, semangat The Red Warriors yang disuntik dengan kehadiran jurulatih baru, Velizar Emilov Popov nampaknya tidak menjadi.

Walaupun mendahului pelawat seawal minit ke-11 melalui jaringan Blazhe Ilijoski, namun Selangor bangkit membalas dengan tiga gol untuk separuh masa pertama.

Anak buah Zainal Abidin Hassan terus mengasak benteng pertahanan tuan rumah sekali gus memperolehi gol keempat pada minit ke-51.

Kelantan bagaimanapun mengecilkan jurang gol melalui 'awang import' mereka, Dramane Traore di minit ke-60.

Kemaraan anak buah Popov terbantut selepas Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dikenakan kad merah dan terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Sebelum wisel penamat ditiupkan pengadil, Selangor sempat menambah gol kelima pada minit ke-89.

Sementara itu di Stadium Darul Makmur, Kuantan, JDT membelasah Pahang dengan keputusan 6-0.

Juara Piala FA itu mencipta jaringan melalui tiga pemain import mereka iaitu Juan Martin Lucero (7',48'), marcos Antonio (34') dan hatrik Jorge Pereyra Diaz (29', 56', 77').

Kemenangan anak didik Mario Gomez itu meletakkan mereka di puncak liga susulan Felda United yang mendominasi kedudukan sebelum ini sekadar seri 2-2 berdepan Pulau Pinang.

Di Stadium Perak, Ipoh pula menyaksikan skuad Bos Gaurus turut terbenam 0-3 di gelanggang sendiri berdepan Sarawak.

Perlawanan lain menyaksikan Kedah mengikat PDRM di Stadium Shah Alam dengan keputusan 1-1, manakala Terengganu mengatasi T-Team 2-1.