Paris perangi drone sepanjang Euro 2016
Ketua Keselamatan Euro 2016, Ziad Khoury menegaskan Perancis - sebagai tuan rumah - mengharamkan penggunaan dron di ruang udara stadium sepanjang kejohanan itu berlangsung.
Menurutnya, larangan tersebut melibatkan 10 stadium dan tempat latihan yang akan digunakan 24 pasukan yang menyertai kejohanan tersebut.
"Teknologi antidron akan diaplikasikan dalam 51 perlawanan dan pihak bertanggungjawab akan mengambil tindakan sekiranya melihat sebarang objek terbang," jelasnya.
Pihak berkuasa negara itu kini menjalani latihan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh mengancam keselamatan mana-mana pihak.
Ketika Barat semakin ketakutan dengan ancaman pengganas, penggunaan dron dianggap berpotensi membawa bahaya terutama di acara melihatkan massa.
Dron sebagai pesawat udara tanpa juruterbang boleh digunakan untuk membawa bom atau senjata kimia.
Ekoran kejadian serangan pengganas di Bruseels, Belgium pada 22 Mac lalu, Paris mengisytiharkan darurat dan status tersebut hanya berakhir Julai nanti.
Langkah itu diambil bagi menjamin keamanan sepanjang kejohanan Euro 2016 berlangsung 10 Jun hingga 10 Julai ini.
Sementara itu, Kesatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) turut mempertimbangkan kejohanan bola sepak antara negara Eropah itu dilangsungkan tanpa kehadiran penyokong.
Namun setakat ini perkara itu belum diputuskan.
Perlawanan pertama Euro 2016 melibatkan pasukan tuan rumah menentang Romania bagi saingan peringkat kumpulan A.

