Najib sama teruja Mourinho ke Old Trafford

   

Tidak penyokong biasa-biasa saja yang teruja dengan kedatangan Jose Mourinho ke Old Trafford.

Di Malaysia, kegembiraan itu turut dizahirkan Datuk Seri Najib Razak yang memang diketahui penyokong tegar Manchester United.

Melalui media sosialnya perdana menteri mengucapkan selamat datang kepada Mourinho ke pasukan kegemarannya itu.

"Selamat datang ke Old Trafford. Di sinilah tempat sepatutnya The Special One berada," katanya.

Kata alu-aluan itu disusuli hastag #GGMU #WelcomeJose.

The Special One adalah nama gelaran digunakan untuk merujuk kepada Mourinho.

Istilah itu digunakan pertama kali oleh Mourinho sendiri ketika di depan media. Sejak itu gelaran berkenaan melekat padanya.

Tulisan anggota parlimen Pekan itu disambut dengan pelbagai reaksi oleh pengikut beliau di Facebook, termasuk kalangan penyokong kelab gergasi bola sepak Eropah itu.

Malah tulisan tersebut juga dikongsi hampir 300 pengguna media sosial itu.

Sementara itu Mourinho sendiri kelihatan sangat teruja untuk bekerja dan meraikan sokongan hebat penyokong kelab bergelar Syaitan Merah itu.

MU dalam kenyataan dikeluarkan hari ini mengumumkan pengurus kelahiran Potugal itu secara rasmi menandatangani kontrak tiga tahun bersama MU.

Mourinho berkata, pelantikannya sebagai pengurus MU adalah penghormatan amat besar untuk dirinya secara peribadi.

"MU adalah kelab yang terkenal dan dikagumi seluruh dunia.

"Mereka ada sejarah unik dan tersendiri yang tak ada pada kelab lain," katanya.

Mourinho menggantikan Louis Van Gaal yang dipecat selepas gagal memberi impak diingini walaupun berjaya menjuarai Piala FA musim ini.

Mourinho yang juga bekas pengurus Chelse berkata, beliau sentiasa merasakan wujudnya hubungan rapat dia dengan Old Trafford.

"Ia telah menjadi tuan rumah beberapa kenangan penting dalam kerjaya saya.

"Saya sentia menikmati hubungan baik dengan penyokong MU dan tidak sabar untuk menikmati sokongan hebat mereka," katanya.

Sejak 2003, jurulatih berusia 53 tahun itu telah meraih 22 trofi bagi membuktikan beliau antara pengurus terbaik di dunia.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.