Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Pele lelong cenderahati dikumpul sejak 1956
Diterbitkan:  Jun 1, 2016 4:44 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

Legenda bola sepak dunia, Pele memutuskan untuk melelong semua memorabilia miliknya yang dikumpul sepanjang kerjaya sejak berusia 15 tahun.

Acara lelongan itu akan diadakan di London bulan depan.

Antara barangan yang terbuka untuk dibida nanti ialah cenderahati dan peralatan kegunaan harian.

Pele, 75, kini berada di hospital untuk menjalani rawatan sakit belakang, pinggang dan pembedahan prostat yang dialaminya sejak tahun lalu.

Tokoh kelahiran Brazil itu berkata dia mahu melepaskan semua memorabilia yang dikumpulnya sejak 60 tahun lalu.

"Ia keputusan yang sukar tetapi barangan itu memerlukan penjagaan teliti. Saya tak fikir ada faedah ia terus disimpan, sebaliknya lebih bermanfaat jika dikongsi dengan orang lain," katanya.

Sebahagian daripada kutipan daripada lelongan itu akan didermakan kepada sebuah hospital kanak-kanak di Brazil.

Firma lelongan awam Julien's Auctions yang menguruskan penjualan itu menjangkakan kutipan terkumpul nanti sebanyak antara £2.5 juta (RM15 juta) hingga £3.5 juta (RM21 juta).

Sementara itu beberapa pihak menjangkakan alasan sebenar Pele mahu melelong barangan itu disebabkan dia menghadapi masalah kewangan.

Satu lagi spekulasi ialah dia menghadapi masalah kesihatan yang kronik.

Namun jurucakap Julien's Auctions berkata ada "banyak sebab" mengapa Pele mahu melelong memorabilia berkenaan.

"Apa yang jelas ada sebab peribadi tetapi hanya dia yang tahu mengapa," katanya merujuk kepada Pele yang memulakan kerjaya sebagai pemain penyerang di kelab Santos.

Dia baru berusia 15 tahun ketika itu.

Berikut adalah antara memorabilia yang menarik dalam lelongan berkenaan:

Piala Jules Rimet 
Trofi asal Piala Dunia, dibuat selepas kejayaan Brazil mengungguli kejohanan itu pada 1970. Ia kemenangan ketiga negara berkenaan selepas 1958 dan 1962.

Pele terbabit sepenuhnya dalam skuad Brazil bagi ketiga-tiga kejuaraan itu. Replika Jules Rimet itu adalah barang paling mahal dilelong dan dijangka menarik bidaan antara £281,000 (RM1.7 juta) hingga £420,000 (RM2.5 juta).

Pingat Piala Dunia
Pembida boleh memiliki pingat dimenangi Pele pada 1958, 1962 dan 1970 dengan harga antara £68,000 (RM408,900) hingga £136,000 (RM817,803) setiap satu.

Kasut but Escape to Victory
Ketika membintangi filem 1981 itu Pele memakai sepasang kasut hitam dan beraksi bersama Sylvester Stallone, Michael Caine dan ketua pasukan England yang membawa skuad itu menjuarai Piala Dunia 1966, Bobby Moore. 

Antara detik penting filem itu ialah jaringan dramatik dilakukan Pele menggunakan kasut berkenaan. Escape to Victory adalah filem berlatarkan zaman Perang Dunia Kedua.

Jurucakap firma lelongan itu menjangkakan kasut berkenaan akan menarik perhatian unik daripada pembida.

Harga jangkaan untuk sepasang kasut itu ialah antara £4,000 (RM24,055) dan £5,500 (RM33,072).

Bola jaringan peribadi ke-1,000
Pada 19 November 1969 Pele mencatatkan jaringan ke-1,000 untuk kerjayanya. Ia berlangsung ketika kelabnya, Santos menentang Vasco da Gama di liga Brazil.

Bola itu dianggarkan dijual antara £28,000 (RM168,371) hingga £42,000 (RM252,556). 

Baju New York Cosmos
Ketika bermain di AS dari 1975 hingga 1977 sehelai jersi dipakai Pele dijangka mampu mendapat bidaan antara £5,500 (RM33,072) hingga £7,000 (RM42,092). 

Lihat Komen
ADS