Copa America: Argentina tundukkan juara bertahan
Argentina berjaya meraih tiga mata penuh selepas menumpaskan juara bertahan Copa America musim lalu, Chile.
Keputusan 2-1 itu pastinya memberi kelegaan kepada pengurus Argentina Gerardo Martino dalam cabaran pertama peringkat kumpulan D, lewat pagi tadi.
Aksi di Stadium Levi's di Santa Clara, California itu, skuad La Albiceleste berjaya menghasilkan dua gol dalam tempoh sembilan minit.
Bagaimanapun, Chile tidak memberi laluan mudah sebaliknya Argentina terpaksa menunggu sehinggga separuh masa kedua untuk membuka jaringan.
Angel Di Maria (gambar) menyempurnakan hantaran Ever Banega dari posisi kanan gawang lawan pada minit ke-51.
Pada minit ke-59 pula menyaksikan Argentina mendahului 2-0 melalui jaringan Banega.
Uniknya, gol kedua tersebut hampirkan menyamai jaringan pertama dan dibezakan dengan pengumpan dan penjaring.
Kali ini giliran Banega menerima umpanan Di Maria sebelum memperdayakan penjaga gol Chile, Claudio Bravo.
Sementara itu, Chile sekadar bangkit merapatkan jurang gol melalui jaringan Jose Fuenzalida pada masa tambahan.
Keputusan itu sekali gus meletakkan Argentina mendahului kumpulan D berkongsi mata dengan Panama yang mencatat kemenangan ke atas Bolivia juga dengan jaringan 2-1.

