Penyandang juara Euro, Sepanyol dikejutkan dengan kekalahan tipis kepada Georgia pada aksi persahabatan awal pagi tadi.

Dipaksa tunduk 0-1 kepada pasukan di ranking 137 dunia itu sekali gus mencalar rekod tanpa kalah berturut-turut Sepanyol dalam 10 perlawanan sejak Mac tahun lalu.

Sayangnya, pada aksi di Colisseum Alfonzo Perez itu, skuad La Furia Roja - kini di kedudukan keenam dunia - gagal memanfaatkan penguasaan bola diperolehi mereka di sepanjang perlawanan.

Gol tunggal Georgia dihasilkan pemain tengah Tornike Okriashvili susulan kesilapan pertahanan Jordi Alba pada minit ke-40.

Walaupun terus menguasai perlawanan, anak buah Vicente del Bosque gagal menghasilkan jaringan sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil.

Kekalahan itu berlaku ketika Sepanyol mengintai peluang untuk meraih kejuaraan Euro kali keempat di Perancis mulai 10 Jun ini.

Kali pertama Sepanyok muncul juara kejohanan Eropah itu ialah pada 1964, diikuti dua kejuaraan berturut-turut pada 2008 dan 2012.

Pada kejohanan Euro 2016 ini, Sepanyol akan memulakan langkah mereka menghadapi Republik Czech di Toulouse pada Isnin ini sebelum dicabar Crotia dan Turki dalam aksi peringkat kumpulan D.