Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Euro 2016: Wales idam kejutan macam Leicester
Diterbitkan:  Jun 10, 2016 11:13 AM
Dikemaskini: 3:19 AM

Selepas menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan sejak 10 bulan lalu, Andy King tidak terpengaruh dengan gelaran underdog yang diberikan kepada Wales.

Malah beliau beranggapan peluang untuk Wales dinobatkan juara Euro 2016 dalam tempoh masa 30 hari bermula sekarang lebih besar berbanding kemungkinan bagi Leicester city menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

King menegaskan dia menyedari keajaiban dicipta Leicester pada bulan terakhir saingan EPL sekali gus mengubah persepsinya kepada sesuatu.

Bagi King, tiada yang mustahil boleh terjadi di dalam dunia ini.

Bukan saja di kalangan peminat, tetapi pemain Wales mempunyai keyakinan begitu - terutama bagi kejohanan yang memerlukan kemenangan dalam enam atau tujuh perlawanan seperti di Euro 2016 nanti.

"Tidak mustahil," kata pemain tengah The Foxes yang mencipta sejarah baru kelab pada musim lalu.

Saingan Euro kali ini menyaksikan Wales bersaing dalam kumpulan B bersama England, Russia dan Slovakia.

Euro 2016 di Paris akan bermula awal pagi esok sehingga 10 Julai.

Kenang jasa Speed

Dibarisi watak seperti King, Gareth Bale (Real Madrid) dan Aaron Ramey (Arsenal) Wales yang tebal dengan semangat melawan serta persefahaman sesama pemain memang boleh membuat kejutan.

"Anda mendengar banyal hal mengenai semangat berpasukan, terutamanya antara Wales dan Leicester. Di Leicester kami melalui beberapa kekecewaan awal dan pelbagai ragam emosi.

"Itu antara persamaan Leicester dan Wales," katanya.

Satu daripada 'cabaran' dihadapi skuad Wales seblum ini ialah tragedi kematian bekas pengurus mereka, Gary Speed, pada 27 November 2011.

Sehari sebelum itu Speed muncul dalam program Football Focus terbitan BBC One bersama hos Dan Walker.

Selepas itu dia berbual dengan beberapa pengulas sebelum bertemu rakan sepasukannya ketika bermain untuk Newcastle United, Alan Shearer, dan bersama-sama menonton perlawanan kelab itu menentang Manchester United di Old Trafford.

Selepas perlawanan berakhir Speed memandu pulang ke rumahnya di Huntington, Cheshire, yang terletak kira-kira sejam perjalanan dari Old Trafford.

Kira-kira jam 7 pagi, isteri Speed, Louise, menemui jasad bekas pemain Newcastle dan Bolton Wanderes itu tergantung di garaj rumah mereka.

Kata King, kini Wales mahu mencabar dominasi pasukan gergasi bersama pengurus baru mereka, Chris Coleman (gambar), yang disenangi semua pemain.

Mewakili skuad kebangsaan Wales sejak 2009, Andy  merupakan pemain yang setia dengan Leicester yang disertai sejak 2006.

Justeru, tidak hairan semangat King begitu membara untuk membuktikan Wales tidak boleh dipandang sebelah mata - sama seperti kelab lain melihat Leicester sebelum ini.

Menurut King, Wales mempunyai skuad yang baik dan barisan pemain terbaik pada kejohanan tersebut.

Beliau dan rakan-rakan bakal berdepan cabaran pertama pada 12 Jun ditentang Slovakia sebelum menghadapai England pada 21 Jun nanti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS