Tuan rumah Euro 2016, Perancis mencatat kemenangan pertama dengan menewaskan Romania pada perlawanan pembukaan kumpulan A di Stade de France, awal pagi tadi.

Walaupun sekadar menang tipis 2-1, keputusan itu ternyata sudah cukup sebagai modal awal skuad Les Blues yang ingin mengulangi kejayaan mereka pada edisi 2000.

Tampil dengan barisan terkuatnya dan di hadapan penyokong sendiri, Perancis bagaimanapun tidak mudah untuk menakluk pihak lawan.

Malah, gawang tuan rumah terlebih dahulu terancam seawal lima minit permainan melalui asakan Bogdan Stancu dan Mihai Pintilii.

Namun, Perancis dilihat lebih menguasai permainan walaupun tiada sebarang gol tercipta di separuh masa pertama dengan beberapa percubaan dihasilkan.

Sehinggalah Olivier Giroud memecah kebuntuan untuk gol pertama Euro 2016 sekali gus mengatasi Romania 1-0 pada minit ke-57.

Giroud menyempurnakan tandukan hasil hantaran silang Dimitri Payet yang bijak memperdayakan Ciprian Tatarusanu.

Kegembiraan penyokong Perancis sayangnya tidak bertahan lama, kesilapan Patrice Evra melanggar Stancu di kawasan kotak penalti memberi peluang buat Romania mencipta gol penyamaan melalui sepakan penalti dihadiahkan pengadil.

Gol jaringan Stancu pada minit ke-65 itu meletakkan keputusan 1-1.

Anak didik Didier Deschamps bagaimanapun berjaya mengesahkan tiga mata penuh milik mereka pada minit-minit akhir masa perlawanan.

Payet mengukir nama sebagai pencipta gol kemenangan pada minit ke-89 melalui ledakan kencang dari luar petak penalti menewaskan penjaga gol Romania Tatarusanu.

Perancis kali ini memburu gelaran ketiga selepas meraih kejuaraan pada edisi 1984 dan 2000.