Penjaga gol kebangsaan Sepanyol, David De Gea, berdepan tuduhan terbabit dalam insiden serangan seksual hanya beberapa hari sebelum pasukannya beraksi di Euro 2016.

Akhbar Sepanyol, El Diario, memetik seorang saksi menyebut nama De Gea dan bekas rakan sepasukan bawah 21 tahun, Iker Muniain, kini disiasatan polis Sepanyol.

Menurut laporan tersebut, dua wanita menjadi mangsa serangan mereka di sebuah hotel di Madrid, Sepanyol pada 2012.

De Gea bagaimanapun tampil menjelaskan dakwaan itu dan menafikannya malam tadi.

"Orang pertama yang terkejut dengan berita ini adalah saya sendiri. Semua itu tidak benar.

"Tuduhan ini hanya akan memberi saya lebih kekuatan," katanya.

El Diario menyiarkan maklumat seorang saksi rahsia dalam perbicaraan membabitkan seorang penerbit filem lucah, Fernandez Allende – juga dikenali sebagai Torbe.

Torbe sedang ditahan di penjara sejak April lalu atas tuduhan berkaitan pelacuran, pemerdagangan orang dan eksploitasi seksual, peras ugut, manipulasi kanak-kanak dan pengubahan wang haram.

Kata De Gea dia langsung tidak mengenali dua wanita yang dikaitkan dengan dirinya dan Muniain.

Mengulas lanjut, penjaga gol berusia Manchester United berusia 25 tahun itu berkata, semua orang yang mengenalinya dengan dekat pasti percaya dakwaan itu fitnah.

"Sekarang, semua akan ditangani peguam saya," katanya.

Saksi tersebut dilapor menyerahkan bukti mesej pesanan ringkas daripda De Gea kononnya cuba menguruskan tarikh mendapatkan pelacur bagi dua pemain bola sepak.

De Gea juga dituduh cuba menguruskan pelacur untuk lima rakannya di MU.

Meski pun dilanda kontroversi, De Gea masih bersama skuad Sepanyol menjelang perlawanan menentang Republic Czech bagi aksi Kumpulan C Isnin ini.