Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Kelantan hilang khidmat 'Kecik' lima perlawanan

Pemain sayap Kelantan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria digantung lima perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setelah didapati bersalah berkelakuan ganas terhadap pemain Selangor pada aksi Liga Super melibatkan pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Baharu pada 21 Mei Lepas.

Jawatankuasa Tatatertib FAM menerusi laman sesawang FAM, www.fam.org.my, menjelaskan lima penggantungan perlawanan yang bakal dihadapi Wan Zaharulnizam atau lebih popular dengan panggilan 'Kecik' membabitkan aksi Liga Super.

Ia melibatkan pertemuan antara Kelantan dan Pahang pada 23 Julai di Kota Baharu serta aksi Johor Darul Ta’zim dan Kelantan pada 26 Julai di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Dua perlawanan lain membabitkan aksi Liga Super antara Kelantan dan Felda United pada 3 Ogos dan pertemuan Kelantan dan T-Team, selang tiga hari kemudian dengan kedua dua perlawanan itu berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu.

FAM memaklumkan Wan Zaharulnizam bakal menjalani penggantungan satu perlawanan secara automatik membabitkan aksi Liga Super antara Terengganu FA dan Kelantan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, 15 Julai ini.

Dalam pada itu, Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) didenda sebanyak RM15,000 kerana gagal mengawal kekecohan yang berlaku di dalam dan di luar stadium pada aksi Piala FA antara Kuala Lumpur melawan Perak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 1 April lepas.

Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) hanya diberi amaran keras susulan tindakan penyokong mereka yang bertindak melontar objek, semasa dan selepas tamat perlawanan Piala FA berkenaan.

Persatuan Bolasepak Melayu Kedah (PBMK) pula didenda sebanyak RM7,500 kerana gagal melunaskan tunggakan gaji kepada lima pegawai persatuan berkenaan iaitu Ahmad Sobri Ismail, Hussin Jaafar, Zulkipli Mahmud, Izham Mustafa dan Abdullah Hassan.

FAM menegaskan PBMK perlu menjelaskan kesemua tunggakan gaji lima pegawai berkenaan, sebelum atau pada 30 Jun ini atau berdepan hukuman yang lebih berat sekiranya gagal melaksanakan pembayaran gaji kepada pegawai yang terlibat.

Majlis Sukan India Malaysia (MISC-MIFA) pula didenda sebanyak RM1,500 kerana gagal menjelaskan bayaran tunggakan gaji bulanan kepada pemainnya, L. Rajesh sebagaimana yang ditetapkan Jawatankuasa Status FAM pada 5 Januari lepas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS