Sebelum jenazah Muhammad Ali disemadikan semalam beberapa tokoh diberi penghormatan untuk berucap. Berikut adalah tiga tokoh yang dipilih dan dilihat dekat dengan petinju berkenaan.
Bill Clinton
(Bekas presiden AS)
Semasa menduduki Rumah Putih Clinton menghadiahkan beberapa anugerah kepada Muhammad Ali, selain bercakap mengenai petinju itu dalam pelbagai majlis.
Satu daripadanya ialah dedikasi untuk Pusat Muhammad Ali di Louisville pada 2005.
Tiada bukti ketara menunjukkan kedua-dua tokoh itu akrab sebagai rakan, namun dapat dilihat Clinton mengagumi Muhammad Ali.
Sehari selepas kematian Muhammad Ali, Clinton ketika itu berkempen untuk isterinya, Hillary di Inglewood, California.
Clinton menceritakan pengalaman pertamanya melihat Muhammad Ali di dalam gelanggang.
"Ketika itu saya terfikir - mungkin kita tidak akan dapat melihat petinju seperti itu lagi selepas ini.
"Maksud saya, anda tidak dapat memastikan sama ada dia petinju atau penari balet. Lihat bagaimana kepantasannya, gaya dia bergerak, seninya. Ia seperti magis," katanya.
Ia bukan penghargaan pertama daripada Clinton. Empat tahun lalu Clinton berkata, cara Muhammad Ali menolak perang Vietnam tidak sama seperti apa dilakukan orang lain.
"Ali memperjudikan segalanya dalam pendirian itu, namun ia dilakukan secara lucu. Namun ia tidak menjejaskannya kerana orang tahu dia bersedia menghadapi apa saja kesan daripada bangkangannya itu.
"Tiada sesiapa menganggap Ali penakut atau tidak patriotik. Mungkin ada yang menuduhnya begitu tetapi Ali membuktikan dia merisikokan hidupnya dengan mulutnya," katanya.
Billy Crystal
(Pelakon)
Muhammad Ali mula memanggil Crystal sebagai "adik" selepas terpesona dengan aksi pelakon When Harry Met Sally dan City Slickers itu.
Apabila Muhammad Ali bersara pada 1979 Crystal mengkhususkan masa bersama wartawan sukan Horward Cosell mengimbau semula detik bermakna petinju itu sebelumnya.
Cosell adalah seorang lagi rakan karib Muhammad Ali.
Pada 2010 melalui rencana disiarkan USA Today Crystal menceritakan bagaimana mereka menghadiri majlis pengebumian Cosell yang meninggal lima tahun sebelum itu.
Kepada Crystal Muhammad Ali berbisik: "Kamu rasa adakah dia memakai rambut palsunya sekarang? Kalau tidak, kamu rasa macam mana tuhan nak kenal dia?"
Crystal juga masih ingat bagaimana keputusan Muhammad Ali nekad menolak untuk dihantar ke Vietnam, memberi semangat kepada ibunya supaya berkempen menghasut orang ramai melarang anak sulung masing-masing menyertai tentera.
"Ibu saya memahaminya dengan baik. Ali adalah suara yang kita perlukan. Mungkinkah ada atlet lain sanggup memperjudikan masa depannya seperti Ali?" katanya.
Bryant Gumbel
(Bekas hos Today Show)
Gumbel bertemu Muhammad Ali melalui seorang rakan yang tinggal di kawasan berhampiran pemimpin Nation of Islam, Elijah Muhammad.
Ketika itu Gumbel masih remaja.
Pertemuan itu berlangsung di Hyde Park, Chicago.
Pada sesi temubual berkenaan Gumbel bercakap mengenai penyakit Parkinson dideritai Muhammad Ali dan kesannya terhadap kemampuan reaksi pada wajah petinju itu.
Sepanjang sesi berkenaan Muhammad Ali tersenyum selebar mungkin.
Ditanya sama ada Parkinson menjejaskan mentalnya, Muhammad Ali berkata: "Saya harap tidak."
Pada Gumbel, Muhammad Ali adalah seorang wira dan tokoh yang layak diteladani generasi semasa.
"Saya tidak pernah nampak atau bercerita tentang keburukan Ali," katanya.
Lonnie Ali
(Isteri Muhammad Ali sejak 30 tahun lalu)
Mereka bertemu kali pertama pada 1963. Ketika itu Yolanda Williams - nama asal Lonnie - baru berusia enam tahun, manakala bakal suaminya - Cassius Clay sebelum menjadi Muhammad Ali - 21 tahun.
Lonnie dan kelurganya menetap di sebuah rumah berdepan dengan keluarga Muhammad Ali.
Apabila ibu Lonnie menunjukkan petinju itu kepadanya, gadis sunti itu malu-malu.
"Saya bersembunyi di belakang ibu selepas 10 minit," katanya kepada The New York Times kira-kira empat tahun lalu.
Menjelang usia 17 tahun Lonnie tahu Muhammad Ali adalah jodohnya. Dia bukan sekadar isteri malah penjaga yang taat sepanjang tempoh petinju itu bergelut dengan Parkinson.
Lonnie membimbing Muhammad Ali untuk diperlihatkan kepada dunia dan memastikan legenda itu tetap disegani walaupun mengalami penyakit.
Lebih daripada itu, Muhammad Ali adalah cinta pertama dan abadi Lonnie.