Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Euro 2016: England terus dihantui badi
Diterbitkan:  Jun 12, 2016 2:34 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Skuad The Three Lions hampir dapat memadamkan badi lapan kali gagal menang pada perlawanan pembukaan Euro mereka, awal pagi tadi.

Namun, kurang dua minit perlawanan tamat badi itu muncul lagi apabila Rusia menjaringkan gol penyamaan menjadikan perlawanan berakhir 1-1.

"Jaringan (penyamaan) itu adalah pil pahit terpaksa kami telan," kata pengendali England, Roy Hodgson‎ seusai perlawanan itu.

England terpaksa berpuas hati dengan keputusan tersebut, malah meneruskan rekod tidak pernah menang pada perlawanan pembukaan Euro sejak lapan edisi disertai sebelum ini.

Pada edisi 1968, England tewas kepada Yugoslavia 0-1.

Trend negatif itu terus terjadi pada perlawanan pembukaan Euro 1980‎ (1-1 lawan Belgium), 1988 (0-1 lawan -Ireland), 1992 (0-0 lawan Denmark), 1996 (1-1 lawan Switzerland), 2000 (2-3 lawan Portugal), 2004 (1-2 lawan Perancis), 2012 (1-1 lawan Perancis).

"Saya rasakan emosi yang sama dilalui pemain. Hasil ini lebih daripada mengecewakan. Keputusan seri dirasa seperti tewas.

"Kemenangan 1-0 sepatutnya menyempurnakan England," kata Hodgson.

Sementara itu kapten England, Wayne Rooney menyifatkan persembahan mereka pada perlawanan itu layak mendapat tiga mata.

"Jelas kami kecewa, tetapi pasukan masih peroleh satu mata dan kami perlu bangkit," katanya.

Perlawanan kedua Rabu ini akan menyaksikan England bertemu Wales yang sudah mengutip tiga mata selepas berjaya menjinakkan Slovakia 2-1.

Wales menjadi pasukan pertama dari Britain yang berjaya meraih kemenangan pada aksi pembukaan Euro.

Lihat Komen
ADS