Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Golf: Empat pelajar UUM wakili negara ke Perancis

Empat atlet Akademi Golf Nasional Universiti Utara Malaysia (UUMNGA) akan mewakili negara ke Kejohanan Golf Universiti Dunia (WUC) ke-16 yang akan berlangsung pada 23 hingga 26 Jun di Brive-La-Gaillarde, Perancis.

Atlet berkenaan ialah Muhammad Afif Muhammad Razif, 21, Sazanur Iman Salenin, 19, Hillferah Tan, 25, dan Nurul Syahirah Afiqah Saparudin, 23, yang kesemua mereka merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian.

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berharap atlet golf UUM dapat memberi persembahan terbaik walaupun terpaksa menyertai kejohanan dalam bulan Ramadan.

"Tidak mustahil kita boleh berjaya sebagaimana pencapaian cemerlang pada edisi 2014 di Crans-Montana, Switzerland di mana pasukan golf Malaysia berjaya memenangi pingat perak bagi acara individu lelaki dan tempat keempat bagi berpasukan lelaki," katanya.

Seramai 130 peserta daripada 28 buah negara akan bertanding pada kejohanan tersebut bagi merebut empat pingat emas yang ditawarkan iaitu bagi acara individu lelaki dan wanita dan berpasukan lelaki dan wanita.

Pengurus Pasukan yang juga Pengarah UUMNGA, Prof Madya Dr Azman Yasin pula berkata atlet golf UUM telah memulakan latihan pusat bermula 7 hingga 18 Jun.

"Segala program latihan yang diatur telah dilaksanakan dengan baik dan bagi fasa terakhir ini tumpuan lebih diberikan pada kekuatan mental, pemeriksaan rutin dan sasaran atau objektif," ujarnya.

Bagi Muhammad Afif yang telah dua kali mewakili negara di kejohanan peringkat universiti sebelum ini, beliau menyasarkan untuk memungut pingat pada kejohanan kali ini.

"Saya berharap dapat memungut pingat pada WUC 2016 ini. Persiapan dan latihan untuk ke Perancis terutamanya dari segi mental dan kecergasan fizikal juga giat dijalankan walaupun pada ketika ini peperiksaan semester tengah berlangsung," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS