Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
MSN pertimbang hantar atlet ke Sukma dan IAAF

Majlis Sukan Negara (MSN) sedang mempertimbangkan untuk menghantar empat atlet olahraga remaja menyertai Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak dan Kejohanan Dunia B20 IAAF di Bydgoszcz, Poland.

Timbalan Ketua Pengarah MSN Datuk Abdul Jalil Abdullah berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dalam masa terdekat mengenai perkara tersebut.

Beliau mengakui bahawa bukan mudah untuk mendapat peluang menyertai kejohanan dunia itu dan pada masa yang sama berkata setiap atlet yang mewakili negara pernah menjadi juara Sukma.

"Jadi juara Sukma ini bukan setakat juara, ada imbuhan-imbuhan yang lain dan pengiktirafan yang diberi oleh negeri dan pihak-pihak yang tertentu. Jadi kita kena fikir, kita kena seimbangkan kedua-dua ini sebelum kita buat keputusan.

"Kita kena tengok kerana selepas balik dari Poland itu, mereka perlu sekurang-kurangnya ada dua hari untuk persediaan ke Sukma. Sampai ke sini (kembali ke Malaysia) ada jet lag dan sebagainya. Itu pertimbangan yang kita akan buat nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Kejurulatihan bagi Program Prodium dan Kita Juara di Dewan Komanwel MSN di Kuala Lumpur, semalam.

Pelari pecut Badrul Hisyam Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan serta dua atlet lompat kijang R. Kirthana dan Mohd Rizzua Haizad adalah empat atlet remaja negara yang berjaya layak ke kejohanan antarabangsa itu.

Namun tarikh Kejohanan Dunia B20 IAAF yang akan berlangsung pada 19-24 Julai hanya dua hari berselang sebelum acara olahraga bagi Sukma Sarawak bermula iaitu 26-29 Julai dan ia menyebabkan atlet-atlet tersebut lebih ke arah menyertai Sukma berbanding kejohanan dunia.

"Kita balik pada objektif Sukma iaitu untuk mencungkil bakat. Apabila kita mencungkil bakat, kita akan mensasarkan pada penyertaan atlet ke peringkat antarabangsa. Tetapi Majlis Sukan Negeri juga telah melabur banyak untuk melatih atlet berkenaan.

"Kita telah berbincang dengan atlet, jurulatih dan negeri tersebut tetapi belum mencapai kata putus. Kita akan bagi keputusan selepas kita bincang dengan KOM," katanya.

Khairul Hafiz dan Badrul Hisyam menempah tiket acara 100 meter ke Poland setelah masing-masing mencatat 10.50s dan 10.53s pada Kejohanan Olahraga Terbuka UniMAP 2015, sekali gus melepasi had kelayakan ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa untuk kejohanan itu 10.55s.

Dua atlet muda itu juga mengesahkan slot untuk acara 200m ke kejohanan sama.

Sementara itu, Kirthana dan Mohd Rizzua layak ke Poland selepas mempamerkan prestasi baik di Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-17 di Ho Chi Minh City, Vietnam minggu lepas.

-Bernama

Lihat Komen
ADS