Lupakan kesakitan demi kegembiraan - itu dialami jurulatih Itali, Antonio Conte, ketika dia bersama-sama pemain lain merai jaringan Emanuele Giaccherini ke atas Belgium awak pagi tadi.

Ia adalah perlawanan pertama kumpulan E kejohanan Euro 2016 yang akan berlangsung sehingga 10 Julai ini.

Pada aksi di Stadium Parc Olympique di Lyon itu, skuad Gli Azzurri menamatkan perlawanan dengan keputusan 2-0 sekali gus mengutip tiga mata dan mendahului kumpulan tersebut.

Bagaimanapun Conte mengalami insiden 'istimewa'.

Ketika meraikan gol Giaccherini dia disondol secara tidak sengaja oleh pemainnya yang berebut-rebut berpelukan ekoran jaringan pada minit ke-32 itu.

"Untuk menang, saya juga terpaksa mengorbankan diri sendiri secara fizikal," ujarnya secara bergurau ketika mengulas mengenai kejadian itu.

 

 

Melalui video yang terakam, kelihatan bakal jurulatih Chelsea musim depan itu mengesat pendarahan hidungnya menggunakan tisu.

Conte menyifatkan kemenangan ke atas Belgium itu menafikan keraguan umum terhadap prestasi pasukannya lebih-lebih lagi berdepan pasukan bernama besar seperti Belgium.

"Tak ada yang pasti dalam bola sepak dan anda hanya (perlu) buktikan di atas padang. Dalam kejohanan seperti ini, anda memerlukan komitmen semua orang. Saya melihat semua orang dalam pasukan kami bahagia," katanya.

Namun, jurulatih berusia 46 tahun itu berkata, kejayaan mereka pada perlawanan pertama itu tidak layak dirai secara berlebihan dan meminta skuadnya berpijak di bumi nyata.

"Sasaran kami masih seperti asal, layak ke kelompok 16 pasukan terbaik. Itali perlu segera bersedia menghadapi perlawanan berdepan Sweden. Memori dua tahun lalu masih segar dalam ingatan." katanya.

Memori yang dimaksudkan Conte adalah kegagalan besar mereka pada Piala Dunia 2014 apabila menang pada perlawanan pembukaan saja. Kali ini mereka mahu mengelak mimpi buruk seumpama itu.

"Kami perlu tampil luar biasa dan ini membuat rakyat Itali bangga dengan menyokong pasukan ini," jelasnya.