Brazil pecat jurulatih selepas gagal di AS
Kesan kegagalan memalukan Brazil dalam saingan Copa America Centenario 2016 membawa kepada pemecatan ketua jurulatihnya, Carlos Dunga.
Skuad Canarinho itu gagal melepasi saingan peringkat kumpulan pun apabila tewas 0-1 kepada Peru dalam perlawanan dipertikaikan kerana gol itu didakwa dihasilkan Raul Ruidiaz menggunakan tangannya.
Walaupun dianggap tewas secara tidak adil, ia tidak menghalang Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF) memecat Dunga sebaik pasukan pulang dari Amerika Syarikat, semalam.
Sumber yang dekat dengan kelab Brazil, Corinthians, memberitahu ESPN Brazil, CBF sudah memujuk pengurus mereka, Tite supaya menggantikan Dunga.
Tite juga akan mengendali skuad kebangsaan Olimpik Rio 2016 dengan sasaran merebut pingat emas untuk pertama kalinya.
Selain itu Pengarah Teknikal Brazil, Gilmar Rinaldi juga dilapor meninggalkan pasukan Brazil selepas bersama Dunga bertemu Presiden CBF, Marco Polo Del Nero, semalam.
Hasil persetujuan bersama
"CBF mengumumkan sudah membuat keputusan untuk menamatkan khidmat kakitangan teknikal pasukan kebangsaan Brazil, koordinator pasukan, Gilmar Rinaldo, jurulatih Dunga dan barisan kakitangannya," kata CBF dalam kenyataan medianya.
Keputusan itu kata CBF diambil hasil persetujuan bersama selepas semua pihak terlibat mengadakan pertemuan petang semalam.
Sepanjang kempen Copa America edisi kali ini, Brazil sempat tampil garang pada perlawanan kedua dengan membelasah Haiti 7-1.
Sayangnya, selain tewas kepada Peru mereka gagal menjaringkan sebarang gol ketika seri dengan Ecuador.
Skuad Brazil tampil tanpa khidmat pemain utama mereka, Neymar, yang dipilih untuk memperkuatkan skuad Olimpik negara itu.
Selain itu, Dunga juga tidak memanggil beberapa pemain penting yang berada di Eropah.
Antaranya, pemain pertahanan Paris Saint-Germain, Thiago Silva dan bek kiri Real Madrid, Marcelo, yang gagal mendapat kepercayaan Dunga memperkukuhkan pasukan juara lima kali Piala Dunia itu.

