'Papua New Guinea kini baru, bukanlah yang dulu'
Skuad Harimau Malaysia akan berdepan Papua New Guinea esok, dan bagi ketua jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee, lawan pertama anak buahnya pada siri jelajah Oceania 2016 itu dilihat berada pada prestasi semakin baik.
Menurut Kim Swee, berdasarkan persembahan Papua New Guinea ketika berdepan New Zealand pada perlawanan akhir Piala Negara-negara Oceania baru-baru ini, cabaran bakal dihadapi Harimau Malaysia diyakini akan sengit.
Pada perlawanan itu, Papua New Guinea yang juga tuan rumah berjaya mengikat New Zealand tanpa sebarang gol.
Penentuan pemenang kemudian terpaksa dilakukan melalui sepakan penalti. Papua New Guinea akhirnya tunduk dengan jaringan 2-4.
Kata Kim Swee dia beliau menyaksikan rakaman perlawanan akhir itu dan mendapati Papua New Guinea bukanlah pasukan seperti yang diketahuinya sebelum ini.
"Mereka memberi tentangan cukup sengit dan mempunyai banyak peluang, selain corak permainan mereka juga berbeza di samping barisan pemain lebih menyakinkan," katanya melalui rakaman audio kepada unit Media FAM selepas sesi latihan di Port Moresby, hari ini.
Jurulatih kelahiran Melaka itu berkata, beliau mahu Harimau Malaysia memfokuskan tiga perkara dalam siri persabahatan antarabangsa bertaraf A itu.
Katanya, walaupun menyedari pasukan Papua New Guinea kini bukanlah pasukan yang dulu mereka tetap mahukan kemenangan.
"Sudah tentu kita inginkan kemenangan dan seperti saya katakan ia bukan mudah. Yang penting kita fokus apa yang kita mahu lakukan dan mencapai matlamat selepas siri jelajah Oceania.
"Penting bukan hanya untuk dapatkan keputusan (baik) tetapi juga keserasian pemain dan pada masa sama memperbaiki ranking," jelasnya.
Selepas pertemuan dengan Papua New Guinea yang berkedudukan ranking ke-193 dunia, skuad Harimau Malaysia - kini di ranking ke-173 - bakal melengkapkan siri Jelajah Oceania 2016 dengan aksi bertemu New Caledonia (ranking 183) di Noumea pada 22 Jun, dan Fiji (ranking 186) di Nadi pada 26 Jun.

