Skuad kebangsaan menerima pukul hebat menjelang perlawanan persahabatan menentang New Caledonia di Stadium Numa-Daly Magenta di New Caledonia esok selepas dua pemain pertahanan - Mahalli Jasuli dari JDT dan kapten Selangor, Muhd Shahrom Abdul Kalam - mengalami kecederaan lutut.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Datuk Ong Kim Swee berkata beliau memutuskan menghantar Mahalli pulang selepas pemain itu dikhuatiri mengalami retak tempurung lutut.

Namun kecederaan Muhd Shahrom tidak serius tetapi beliau tidak dapat bermain dalam perlawanan esok kerana dalam proses pemulihan.

Kim Swee bagaimana tidak bimbang memandangkan terdapat beberapa pengganti seperti Mohd Fadhli Shas, Junior Eldstal, S Kunanlan dan Muhammad Fazly Mazlan dan juga pemain Melaka United, Khair Muhammad Jefri Jones .

"Perlawanan menentang New Caledonia tidaklah mudah, mereka punya kelebihan bermain di tempat sendiri," katanya pada sidang akhbar praperlawanan semalam.

Audio sidang itu diterima oleh Bernama di Kuala Lumpur.

Skuad kebangsaan diselar hebat selepas tewas 0-2 kepada pasukan ke-193 dunia, Papua New Guinea di Stadium Sir John Guise di Port Moresby, Jumaat lepas.

Selepas perlawanan menentang New Caledonia, Malaysia akan menyelesaikan Jelajah Oceania dengan menentang pasukan ke-186 dunia, Fiji di Nadi, Ahad ini.

- Bernama