Ireland Utara terselamat kerana jasa McGovern
Ketika pasukan lawan menguasai kira-kira 70 peratus permainan, pasukan Ireland Utara terselamat daripada diaibkan dengan jaringan besar hasil ketangkasan penjaga gol Michael McGovern.
Jerman melakukan serangan bertali arus dan banyak peluang keemasan terbuka di depan gawang.
Selain kegagalan pemain mencari sasaran, peluang itu juga banyak dinafikan oleh tindak balas pantas McGovern.
Hasilnya sehingga tamat permainan Jerman hanya dapat membolosi gawang Ireland Utara sekali saja.
"Saya sangat sibuk menjaga gawang dan berdepan cabaran mental yang hebat, tetapi saya bangga dengan apa yang saya lakukan.
"Kami tahu setiap gol adalah penting dan bertungkus lumus menyekat kemaraan lawan dan pada masa sama mengintai peluang untuk mencari gol.
"Harap-harap apa yang saya buat memadai untuk Ireland Utara," katanya.
Dalam pelawanan awal pagi tadi Jerman mencatat kemenangan hasil jaringan Mario Gomez pada minit ke-29.
There was only one man taking @Manuel_Neuer's shirt home today. Well played, Michael McGovern! ? #NIR #NIRGER pic.twitter.com/Duoz5hk8Kg
— Germany (@DFB_Team_EN) June 21, 2016
Permainan dilihat sangat berat sebelah. Dibarisi pemain bertaraf bintang Jerman mengatur gerakan menyerang bertali arus ke arah kubu Ireland Utara.
Bagaimanapun hasil jasa tangan McGovern hanya sekali gol mereka dibolosi.
Dalam perlawanan kumpulan D, Turki menundukkan Republik Czech 2-0. Keadaan itu membuka jalan kepada Ireland Utara melangkah ke pusingan 16 terbaik dan bakal berdepan sama ada Perancis atau Wales hujung minggu ini.
Di bilik persalinan semua pemain Ireland Utara berdiri dan memberi penghormatan kepada McGovern, 31, kerana prestasi mengagumkan itu.
Dia kini tidak terikat dengan mana-mana kelab selepas kontraknya bersama skuad Hamilton di Liga Perdana Scotland berakhir Mei lalu.
Menceritakan pengalamannya berdepan Jerman, McGovern berkata dia tidak pernah 'sesibuk' itu sepanjang kerjayanya sebagai penjaga gol.
"Pemain lawan memang cemerlang. Mereka mencabar saya sehingga ke tahap maksimun. Saya tak pernah berdepan dengan lawan yang memiliki kualiti sehebat itu," katanya.
Ketangkasan McGovern turun mendapat pujian daripada skuad Jerman.
"Hanya seorang dapat membawa pulang baju Manuel Neuer (penjaga gol Jerman) hari ini. Syabas Michael McGovern!" kata pasukan itu melalui Twitter.

