Terengganu bakal gugurkan pemain import
Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan melakukan beberapa pertukaran pemain termasuk menggantikan pemain import, Juan Jose Morales.
Presidennya Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata pihaknya juga sedang giat mencari dua lagi pemain tempatan bagi mengisi kouta kekosongan termasuk tempat ditinggalkan Amiridzwan Taj Tajudin.
Beliau berkata bagi mengisi kekosongan itu pihaknya telah mengenal pasti beberapa pemain yang akan menguatkan skuad Penyu selepas ini.
"Kita telah bersetuju untuk lakukan pertukaran ini yang melibatkan dua pemain tempatan dan kita juga akan menukar Juan Jose Morales...ia akan diselesaikan dalam masa terdekat.
"Pemain import dari Australia, Brazil dan Uzbekistan menunjukkan minat untuk menyarung jersi skuad Terengganu musim ini," katanya kepada pemberita, di Kuala Nerus.
Beliau bagaimanapun berkata barisan jawatankuasa penilai akan meneliti perkara itu terlebih dahulu sebelum membuat keputusan muktamad.
Untuk memenuhi kriteria yang ditetapkan, beliau berkata keserasian calon antara pemain tempatan, import dan juga jurulatih akan turut dititikberatkan.
Sebelum ini, PBSNT menamatkan kontrak pemain pertahanan Amiridzwan Taj Tajudin akibat kecederaan awal bulan lepas.
Wan Ahmad Nizam turut mengakui pihaknya mengalami masalah kewangan sehingga terpaksa melakukan beberapa perubahan dan pertukaran pemain.
Beliau berkata untuk menukar pemain import memerlukan kos yang tinggi, mencecah hampir RM700,000, namun demi menguatkan pasukan, pihaknya terpaksa melaksanakannya.
"Kita memang mempunyai kekangan kewangan namun kita tetap menjaga pemain yang ada dan membayar gaji mereka seperti biasa.
"Untuk pemain import, persatuan perlu membayar pampasan kepada pemain sedia ada, perlu membayar kepada pemain yang hendak dibawa masuk dan juga kepada ejen," katanya.
- Bernama

