Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Portugal sertai Poland, Wales ke suku akhir
Diterbitkan:  Jun 26, 2016 9:10 AM
Dikemaskini: 1:16 AM

Saingan penalti, jaringan gol sendiri dan jaringan di minit terakhir masa tambahan menghiasi perjalanan skuad Poland, Wales dan Portugal ke peringkat suku akhir dengan menewaskan lawan masing-masing, malam tadi.

Poland yang berdepan Switzerland di Stade Geoffroy Guichard, Saint-Etienne awalnya dilihat kurang bernasib baik ‎apabila gagal mempertahankan kedudukan 1-0 yang diraih mereka pada separuh masa pertama.

Gol pendahuluan itu dijaringkan Jakub Blaszczykowski pada minit ke-39.

Ternyata Switzerland lebih mengawal permainan, manakala Poland lebih banyak bertahan dan menjadikan tempo perlawanan di separuh masa kedua agak perlahan.

Bagaimanapun, bekas pemain Bayern Munich, Xherdan Shaqiri berjaya menyamakan kedudukan menjadi 1-1 pada minit ke-82 sekali gus membawa permainan ke masa tambahan 30 minit.

Kebuntuan mencari pemenang sepanjang tempoh masa tambahan akhirnya membawa perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Pemain yang bakal beraksi bersama Arsenal dalam EPL musim depan, Granit Xhaka, kemudian membantu pasukan lawan apabila gagal menyempurnakan tendangan penaltinya.

Perlawanan berkesudahan Poland menang 5-4.

Gol Ramsey dibatalkan

‎Sementara itu, Ireland Utara turut 'membantu' Wales mara ke suku akhir apabila pemain pertahanan mereka, Gareth McAuley menjaringkan gol sendiri.

Bola hantaran silang pemain sandaran Wales, Gareth Bale tersondol McAuley ke gawang pasukannya‎ sendiri.

Aksi di Parc des Princes itu agak membosankan terutamanya di separuh masa pertama apabila tidak banyak peluang menarik berjaya dicipta kedua-dua pasukan.

Penyokong dan jurulatih Wales Chris Coleman sempat bersorak pada minit ke-19 apabila sentuhan Aaron Ramsey menerjah ke jaring gol Ireland Utara. Bagaimanapun gol berkenan tidak disahkan kerana off side.

‎Sandaran Wales terhadap pemain termahal dunia, Gareth Bale juga tenggelam jika dibandingkan dengan persembahannya sebelum ini.

Tidak banyak yang dapat dilakukan bintang Real Madrid itu, malah tendangan bebasnya ‎yang biasanya mengancam juga dapat diselamatkan penjaga gol lawan, Michael McGovern.

Wira portugal

‎Namun, Wales tetap melangkah lebih jauh kali ini untuk menghidupkan peluang meraih gelaran Euro 2016.

Satu lagi perlawanan awal pagi tadi menyaksikan Portugal dicabar hebat Croatia dalam permainan 120 minit sebelum mengesahkan kemenangan 1-0.

Ricardo Quaresma‎ muncul sebagai wira Portugal dengan gol tunggal selewat minit ke-117 permainan.

Croatia pastinya meratapi kegagalan itu selepas mencipta banyak peluang keemasan di depan gawang Portugal.

Namun kegagalan mendorong bola melepasi kawalan Rui Patrício - sama ada kerana diselamatkan penjaga gol itu atau tidak menepati sasaran - menyebabkan Croatia berputih mata kali ini.

Beberapa detik sebelum masa tambahan tamat, Portugal membuat gerakan pantas dari hujung kawasan penatilnya selepas mencuri bola dari kaki pemain Croatia.

Larian pantas ke kanan gol Croatia itu mengucar-kacirkan pertahanan mereka sebelum umpanan diberikan kepada Christiano Ronaldo yang menunggu di kiri gol.

Cubaan Ronaldo sempat ditepis Danijel Subasic namun tampanannya tidak kemas dan bola terlepas dan hanya berada di depan Ricardo Quaresma yang tidak berdepan sebarang halangan di depan gol.

Tandukan Quaresma itu meletakkan Portugal menyertai Poland dan Wales di separuh akhir.

Sebelum bermain pada masa tambahan, kedua-dua pasukan bergelut dengan masalah ketumpulan jentera serangan.

Uefa merekodkan tiada sebarang percubaan tepat terhasil oleh kedua-dua pasukan sepanjang tempoh 90 minit berakhir.

Lihat Komen
ADS