Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
ISN: Prestasi Badrul, Khairul tak terjejas di Sukma

Prestasi dua atlet olahraga remaja negara tidak akan terjejas di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak walaupun mereka menyertai Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Bydgoszcz, Poland.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Dr Khairi Zawi berkata sekiranya tahap kecergasan Badrul Hisyam Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan adalah tinggi di samping melakukan persediaan awal sebelum ke Poland, mereka tidak akan berdepan masalah mengekalkan prestasi masing-masing di Sarawak.

"Kita mengharapkan mereka dapat lakukan yang terbaik di Kejohanan Olahraga Dunia, dan bukan sekadar pergi sebab mereka disuruh pergi bertanding di sana.

"Walaupun tempoh pemulihan agak singkat, tetapi prestasi mereka ketika beraksi di Poland masih ada dan tidak akan menurun secara mendadak.

"Jika mereka dalam keadaan prestasi tinggi di Poland, tidak mustahil mereka akan menang di Sarawak," katanya kepada Bernama.

Beliau diminta mengulas berhubung kebimbangan segelintir pihak terhadap penyertaan kedua-dua jaguh pecut remaja negara itu yang perlu menyertai dua kejohanan besar secara serentak.

Sebelum ini, Badrul Hisyam dan Khairul Hafiz memutuskan untuk memilih temasya Sukma yang berlangsung pada 26 hingga 29 Julai dan menolak untuk menyertai Kejohanan Olahraga Dunia di Poland dari 19 hingga 24 Julai.

Namun, selepas perbincangan antara Majlis Sukan Negara (MSN), Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan ISN dengan jurulatih serta atlet berkenaan, mereka akhirnya bersetuju menyertai kedua-dua kejohanan itu.

Khairul Hafiz pelari terpantas remaja Asia yang baru dan Badrul Hisyam mengesahkan tiket ke Kejohanan Dunia itu pada Oktober tahun lepas dalam acara 100m dan 200m.

Selain dua atlet pecut itu, turut layak R Kirthana yang meraih tiket ke Bydgoszcz setelah melakukan lompatan 13.20m untuk memenangi emas lompat kijang, manakala Mohd Rizzua Haizad pula layak setelah melakar catatan 14.00s untuk merangkul emas acara 110m lari berpagar.

Kejohanan dunia ukur prestasi

Dalam pada itu, Dr Khairi berkata penyertaan di Kejohanan Dunia adalah penting sebagai platform terbaik untuk mengukur prestasi mereka di peringkat yang lebih tinggi.

"Kejohanan di Poland sangat penting untuk mereka. Mereka tidak boleh hanya berpuas hati dengan mencipta nama di peringkat tempatan.

"Mereka seharusnya sudah sampai masa untuk mengukur prestasi mereka dalam kalangan yang terhebat dunia. Ini untuk masa depan karier mereka juga," katanya.

Mengenai persiapan atlet terbabit pula, Dr Khairi berkata mereka perlu bermula lebih awal khususnya untuk penyesuaian kepada masa dan cuaca.

Justeru, kesemua atlet akan berlepas ke Poland lebih awal di samping melakukan pengubahsuaian kepada waktu sesi latihan mengikut waktu Poland.

"Selain itu, mereka juga perlu tetapkan matlamat mereka di Kejohanan Dunia itu. Pada saya, atlet remaja seperti mereka perlu ada minda untuk menang supaya mereka sentiasa bersedia dalam apa jua kejohanan," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS