Langkah Iceland terhenti disekat Perancis
Langkah Iceland dalam kancah Euro 2016 di Perancis berakhir sebentar tadi selepas mereka ditundukkan pasukan tuan rumah 2-5.
Menjadi sebutan dan bualan sebelum ini, Iceland gagal menyinar seperti mereka lakukan ke atas pasukan England sebelum ini.
Malah perlawanan di Stade de France di utara Paris itu mencatat pertemuan dengan jaringan terbesar untuk Euro 2016 setakat ini.
Penyerang Arsenal Olivier Giroud menjaringkan dua gol masing-masing sebagai pembukaan pada minit ke-12 dan penutup di minit ke-59.
Penyumbang gol Perancis yang lain ialah Paul Pogba pada minit ke-19, Dimitri Payet (minit ke-42) dan Antoine Griezmann (minit ke-45).
Cinderella's run has come to an end.
— ESPN (@espn) July 3, 2016
France advances to the #EURO2016 semifinals with a 5-2 win over Iceland. pic.twitter.com/ioUZ0MTwAx
Gol Iceland pula dijaringkan Kolbeinn Sigthorsson pada minit ke-55 dan Birkir Bjarnason pada minit ke-84.
Kemenangan itu membawa Perancis bersaing di peringkat separuh akhir bertemu juara Piala Dunia, Jerman pada 7 Julai ini.
Dalam perlawanan bermula pada jam 3 pagi tadi, Iceland mencipta sejarah di kejohanan Eropah apabila menurunkan barisan pemain sama untuk lima perlawanan berturut-turut.
Bagaimanapun barisan itu meneruskan rekod kegagalan mereka menundukkan Perancis dalam 11 perlawanan terdahulu.
Di sebalik kekalahan itu Iceland tetap 'menang' di hati peminat bola sepak kerana berjaya mempersembahkan cabaran menarik walaupun dilatih oleh seorang doktor gigi.
Kemampuan skuad dari negara dengan populasi kurang daripada 333,000 orang itu melakar kejutan menumbangkan England pula akan dikenang untuk tempoh yang panjang dalam sejarah bola sepak dunia.

