Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Jamal Mohd Aris dilantik sebagai pengurus pasukan skuad The Bos Gaurus yang baru bagi menggantikan Datuk Shahrul Zaman Yahya dan menghadapi baki saingan Liga Super musim ini.

Presiden Pafa, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata Jamal akan berganding bahu dengan ketua jurulatih baru Karl-Heinz Weigang, seorang jurulatih dari Jerman yang tidak asing dalam kancah bola sepak negara.

"Pafa telah membuat beberapa rombakan kepada pasukan The Bos Gaurus bagi menghadapi baki saingan Liga Super 2016 dan Piala Malaysia 2016 yang akan bermula serentak," katanya dalam kenyataan di Ipoh semalam.

Selain itu, Abdul Puhat turut mengumumkan khidmat pemain import dari Uzbekistan, Vokhid Shodiev telah ditamatkan atas persetujuan bersama dan tempatnya diganti seorang lagi pemain dari negara sama iaitu Oybek Kilichev.

Katanya kontrak seorang lagi pemain import, Erick Weeks Lewis dari Liberia telah tamat dan tempat beliau digantikan oleh Xhevahir Sukaj dari Albania.

"Ini membolehkan Pafa mengekalkan kuota pemain Asia seperti disyaratkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," katanya.

Abdul Puhat turut mengumumkan kemasukan semula dua bekas pemain pasukan Perak iaitu Razali Umar Kandasamy dan Muhammad Syamil Khairi bagi memperkuatkan barisan pemain tempatan yang sedia ada.

FAM telah membuka jendela perpindahan pemain dari 20 Jun hingga 15 Julai ini.

Selepas 12 perlawanan pada saingan separuh pertama Liga Super musim ini, Perak kini menduduki tangga ke-10 daripada 12 pasukan dengan 11 mata selepas dua kemenangan, lima kalah dan lima seri.

- Bernama