Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Hukuman menanti Kafa hujung bulan ini
Diterbitkan:  Jul 5, 2016 1:27 PM
Dikemaskini: 5:31 AM

Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) bakal berdepan tindakan selepas didapati gagal menyelesaikan segala tunggakan mereka terhadap pemain.

Kenyataan itu dibuat Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin selepas Kafa dilapor gagal melunaskan gaji tertunggak lima bekas pemain mereka mengikut jadual yang telah dipersetujui.

Menurut Hamidin, isu tersebut juga akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM akibat kedegilan Kafa sendiri yang tidak serius dengan tuntutan pembayaran gaji lima bekas pemain mereka.

Kata Hamidin, pihaknya terpaksa memanjangkan perkara tersebut kerana menyifatkan Kafa tiada pilihan lain.

Justeru, pihaknya akan melanjutkan kes tersebut ke jawatankuasa tatatertib selepas sambutan hari raya atau selewat-lewatnya dua minggu dari sekarang.

"Kafa masih belum melangsaikan bayaran keempat untuk bulan Jun, dan pembayaran ansuran harus diselesaikan pada penghujung 30 Julai. Jika mereka gagal melaksanakannya, hukuman menanti mereka," kata Hamidin dipetik Astro Arena.

Bagaimanapun Hamidin berkata isu tersebut akan dianggap selesai jika berjaya membuat pembayaran dalam masa terdekat atau sebelum isu ini dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa tatatertib.

"Kafa boleh terlepas daripada sebarang tindakan disiplin jika menyelesaikan segala tunggakan mereka terhadap pemain-pemain ini," katanya.

Sabtu lalu, Setiausaha Kehormat Kafa Datuk Ismail Md Noor mendedahkan kedudukan kewangan persatuan berkenaan yang tenat sehingga menyukarkan proses pembayaran melibatkan jumlah RM75,179.50 kepada Fitri Omar, Nazri Ahmad, Amiridzwan Taj, Ahmad Fakri Saarani dan Amar Rohidan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS