Euro bukan tempat cerita romantis berakhir dengan kegembiraaan. Sekurang-kurangnya bukan Euro kali ini.

Satu demi satu pasukan underdog terkeluar dari saingan menuju kemuncak Euro 2016.

Sebelum ini Perancis memaksa Iceland pulang tanpa rekod beraksi di separuh akhir apabila mengalahkan skuad negara kerdil dan 'dingin' itu 5-2.

Sebentar tadi giliran Wales hanyut 0-2 dibawa badai Portugal. Dan ternyata juga nama serta susuk Gareth Bales belum memadai untuk mengimbangi Cristiano Ronaldo dan Luis Nani.

Stade des Lumieres menjadi saksi akan hakikat itu.

Turun degan semangat untuk melakar sejarah lebih gemilang Wales mencabar Portugal untuk menuntut hak bermain dalam perlawanan akhir pada 11 Julai ini.

 

 

Perlawanan nampak sedikit menjanjikan 45 minit pertama. Justeru ketika pengadil jutawan dari Sweden, Jonas Eriksson, meniup wisel untuk rehat, peminat melihat Wales mungkin berpeluang mencipta kejutan besar.

Ia adalah kesan psikologi selepas mereka menyingkirkan dua pasukan besar dunia sebelum ini, iaitu England di peringkat kumpulan, dan Belgium di suku akhir.

Kira-kira lima minit selepas permainan separuh masa kedua, Wales disentak realiti. Lonjakan tinggi Ronaldo kemas mengatasi kawalan lawan dan menanduk deras bola untuk melepasi kawalan Wayne Hennessey.

Tempang tanpa Ramsey

Kurang dari tiga minit kemudian Nani pula menghukum Wales. Ia juga hasil kelicikan Ronaldo yang mengumpan bola ke depan gawang dan ditampan pada waktu tepat oleh Nani.

Di atas padang Wales sebenarnya amat terkesan dengan ketiadaan pemain Arsenal, Aaron Ramsey, yang tidak boleh diturunkan kerana menerima dua kad kuning sebelum ini.

Tanpa Ramsey, Chris Coleman tidak dapat memanfaatkan perancangannya dengan baik.

Ini hakikatnya: Sejak 2015 Wales gagal memenangi sebarang perlawanan mereka tanpa kelibat Ramsey di atas padang. Daripada empat perlawanan tidak mendapat kudrat Ramsey Wales hanya seri sekali dan selebihnya kalah.

Perlawanan sebentar tadi juga menunjukkan Ronaldo lebih ke depan berbanding rakan sepasukannya di Real Madrid, Bale.

Tempoh 45 minit pertama memang masa untuk Bale kelihatan mengancam, manakala Ronaldo agak tenggelam.

Ronaldo samai Platini

Pada suatu ketika Bale membuat Portugal cemas dengan larian pantas dan hantaran lintangnya ke tengah padang mencari Nani. Mujur Rui Patricio tangkas memintas dan menangkap bola berkenaan.

Separuh masa kedua giliran Ronaldo pula mencuri perhatian. Dalam tempoh tiga minit dia meruntuhkan impian Wales membuktikan kepada dunia bahawa mereka layak digeruni sama seperti gergasi bola sepak lain.

Suku akhir ini juga adalah perlawanan pertama - daripada enam perlawanan terakhir - Wales gagal menjaringkan sebarang gol.

Ronaldo pula meletakkan namanya sebaris dengan legenda Perancis, Michel Platini apabila mencatat sembilan gol Euro. Lima daripada gol itu adalah melalui tandukan.

Ronaldo juga pemain pertama beraksi dalam tiga perlawanan separuh akhir Euro. Selain kejohanan kali ini Ronaldo melakukannya pada 2004 dan 2012.

Awal pagi esok, lawan Portugal di perlawanan akhir akan diketahui apabila tuan rumah - Perancis - menentang juara Piala Dunia, Jerman.

Pada jam 3 pagi Ahad ini Stade de France - yang terletak kira-kira 9.5 kilometer di utara Paris - bakal menjadi tempat pemutus menobatkan juara Euro 2016.