Dalam sebarang kejohanan besar musim kata Carlo Ancelotti sangat besar kemungkinan untuk pemain pasukan yang bertarung di perlawanan akhir mengalami kelesuan.

Minda mereka pula, katanya, akan menghadapi tekanan untuk mencari penyudah terbaik.

"Sebagai pengurus apa yang terbaik anda lakukan ialah memastikan perancangan diatur secara mudah dan polos," katanya.

Menurut tokoh berprofil tinggi yang kini mengendalikan kelab Bayern Munich itu, pengurus Portugal dan Perancis perlu memahami keadaan berkenaan apabila anak buah mereka bertarung pada jam 3 pagi nanti.

"Didier Deschamps dan Fernando Santos mesti membuat persediaan mudah untuk pemain mereka menghadapi perlawanan terbesar dalam kerjaya masing-masing," katanya dalam akhbar Telegraph hari ini.

Euro 2016 akan melabuhkan tirainya beberapa jam lagi selepas kejohanan itu berlangsung sejak 10 Jun lalu.

Pasukan tuan rumah - Perancis - berpeluang mengulangi kejayaan mereka menjulang piala utama dunia pada 18 tahun lalu di stadium Stade de France.

Pada 12 Julai 1998 Perancis merangkul kejuaraan Piala Dunia dengan mengalahkan Brazil 3-0.

Awal pagi ini Perancis akan dicabar pasukan Portugal.

Ancelotti, 57, sepatutnya faham apa yang dikatakan mengenai corak permainan yang perlu diterapkan Deschamps dan Santos.

Dia melihat sendiri bagaimana pemain Itali bergelut menghadapi jentera Brazil dalam perlawanan akhir Piala Dunia 1994 di Pasadena, California AS.

Ancelotti ketika itu berkhidmat sebagai penolong kepada pengurus Itali, Arrigo Sacchi.

Perlawanan berakhir tanpa jaringan walaupun selepas masa tambahan. Keadaan itu mendorong penentuan kejuaraan dibuat melalui sepakan penalti.

Itali akhirnya tunduk dengan jaringan 2-3.

Menjelang perlawanan akhir Piala Dunia 1994 itu, kata Ancelotti, Sacchi hanya menekankan tugas setiap pemain dan apa yang mereka capai sepanjang tempoh sebelum kejohanan itu.

Rehat, lapangkan kepala

Kata Ancelotti, Perancis hanya mempunyai masa tiga hari rehat antara pertemuan separuh akhir menentang Jerman dengan perlawanan akhir hari ini.

Portugal pula hanya memiliki kelebihan satu hari berbanding Perancis.

"Tidak ada masa untuk latihan benar-benar intesif atau membuat persiapan amat terperinci mengenai lawan.

"Apa yang perlu dibuat hanyalah berehat dan melapangkan fikiran untuk perlawanan terbesar dalam hidup setiap pemain.

"Tidak ada gunanya - pada peringkat ini - untuk cuba memberikan maklumat amat terperinci mengenal lawan, sebab semua pemain kepenatan, badan sakit-sakit dan dipisahkan tempoh 90 minit untuk menggapai kegemilangan.

"Mereka perlukan maklumat asas saja, bukan fikiran yang dipenuhkan dengan data mengenai kekuatan pasukan lawan," katanya.

Sebagai pengurus, kata Ancelotti, seseorang perlu mengakui mereka mungkin boleh mengawal segala-galanya, kecuali satu perkara.

"Ada sesuatu yang anda perlu terima sebagai pengurus: Anda boleh mengawal segala-galanya, kecuali keputusan perlawanan," katanya.