Ramalan Ronaldo benar belaka
Penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo memang menjangkakan rakan sepasukannya, Eder bakal menjaringkan gol untuk skuad Seleccao semasa aksi final Euro 2016 awal pagi tadi.
Pada perlawanan berlangsung di Stade de France itu, Portugal dilihat lebih tertekan berbanding pasukan tuan rumah.
Malah, Eder hanya diturunkan pada minit ke-79 bagi menggantikan Renato Sanches.
Namun siapa sangka percaturan Fernando Santos menurunkan Eder membuahkan hasil sekali gus meletakkan pemain kelab Lille itu sebagai hero Portugal.
Sebaik tamat perlawanan permain berusia 28 tahun itu mengungkapkan perasaan gembiranya.
Menurutnya, Portugal layak meraih gelaran juara untuk pertama kalinya selepas kerja keras mereka selama ini.
"Ini adalah saat luar biasa. Pasukan kami bekerja keras dan sedar rakyat Portugal ada di belakang kami.
"Kami berjuang dengan kekuatan sepenuhnya. Saya fikir kami layak meraih gelaran ini, kami sudah lama mengidamkannya," katanya seperti dilaporkan laman web eufa.com.
Mengulas gol dijaringkannya, Eder berkata dia mahu membayar kepercayaan jurulatih dan rakan-rakan dengan persembahan maksimum pada Euro kali ini.
"Cristiano (Ronaldo) berkata kepada saya bahwa saya akan menjaringkan gol kemenangan. Dia memberikan kekuatan dan energi positif.
"Gol itu sangat penting," katanya.

