Di Barat sukan dan minuman keras mempunyai hubungan akrab yang luar biasa.

Ketika industri sukan berkembang pengiklan - termasuk pengeluar minuman keras - pula memanfaatkan ruang yang ada untuk meluaskan pasaran.

Dalam kejohanan Euro yang berakhir awal pagi tadi hubungan akrab itu sekali lagi dapat dilihat dengan jelas.

Mengikut analisis secara purata penonton yang mengikuti perlawanan di kejohanan terbesar Eropah itu melihat iklan minuman keras sekali bagi setiap 72 saat.

Sebuah pertubuhan kebajikan menangani isu arak di UK, Alcohol Concern, penduduk England dan Wales yang menyaksikan skuad kebangsaan masing-masing bertarung melihat iklan arak sebanyak 392 kali, atau 78 kali bagi setiap perlawanan.

Apa yang membimbangkan ialah, sebahagian daripada penonton itu ialah kanak-kanak.

Sama ada direstui atau tidak keadaan itu boleh menyebabkan mereka berfikir bahawa bola sepak dan aktiviti meminum arak adalah perkara yang sama.

Pengarah Alcohol Concern, Andrew Misell, berkata kajian mereka sebelum ini menunjukkan kanak-kanak seawal usia 10 tahun lebih terdedah kepada maklumat mengenai label arak utama berbanding kek dan makanan ringan.

"Ramai kanak-kanak juga mengaitkan jenama tertentu arak dengan beberapa pasukan bola sepak utama," katanya.

Di semua sudut ada iklan

Untuk makluman, undang-undang Perancis - dikenali sebagai Loi Evin - melarang syarikat arak menjadi penaja kejohanan sukan, selain mengharamkan iklan alkohol di televisyen.

Justeru di sepanjang kejohanan Euro kali ini anda tidak melihat ada logo atau imej syarikat arak dipaparkan.

Namun syarikat seperti pengeluar arak di Denmark, Carlsberg, mempunyai cara lain mengatasi kekangan itu.

Menggunakan latar warna dan jenis huruf yang sama maka anda boleh melihat perkataan Probably dipaparkan pada papan-papan iklan di sekeliling padang.

Probably itu sendiri adalah satu daripada slogan paling terkenal untuk Carlsberg.

Dalam keadaan begitu ke mana saja lensa kamera dihalakan penonton akan disuap dengan imej Probably.

Sebagai maklumat, Loi Evin adalah undang-undang mengenai dasar alkohol dan tembakau yang diluluskan Perancis pada 1991. 

Istilah berkenaan diambil sempena nama Menteri Kesihatan Perancis, Claude Evin, yang mencadangkan peraturan tersebut di parlimen ketika itu.

Sementara itu Carlsberg berkata mereka hanya mengiklankan minuman keras tanpa alkohol di Euro kali ini.

Menjawab aduan daripada media tempatan Carlsberg memberitahu minuman keras itu hanya dijual di kawasan khas di tempat perlawanan bola sepak dilangsungkan.

Kesan daripada keganasan dan rusuhan sepanjang kejohanan kerajaan melarang minuman keras dijual di premis biasa.

Di Englan pihak berkuasa negara itu sudah mengharamkan amalan meminum arak di stadium bagi mengelak kekacauan.

Misell berkata jumlah pemasaran alkohol bagi sukan bola sepak memang begitu besar ketika ini.

Kajian Alcohol Concern pula menunjukkan syarikat pengeluar minuman keras bersedia untuk memperluaskan strategi itu bagi membolehkan jenama mereka sampai kepada pengguna "walaupun undang-undang melarangnya".