Walaupun umum mengetahui pasukan JDT lebih ke hadapan berbanding pasukan lain dalam liga Malaysia, namun Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempunyai pandangan tersendiri mengenai pasukannya itu.
Beliau yang juga Tengku Mahkota Johor berkata, skuad Harimau Selatan bukan pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Malaysia tahun ini.
"Pada saya pasukan paling kuat dan lengkap dalam negara pada masa ini dalam liga Malaysia adalah Kedah, Felda dan Selangor. Dengan pemain-pemain bagus, mereka adalah pasukan yang lengkap.
"JDT pula perlu menggunakan pemain yang kami ada saja dan bagi saya, ketiga-tiga pasukan ini adalah pasukan pilihan untuk saingan Liga Super dan Piala Malaysia," katanya dalam satu wawancara disiarkan di Facebook Johor Southern Tigers, hari ini.
Selepas berehat kira-kira sebulan saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia bersambung malam ini.
Mengulas prestasi semasa JDT, Tunku Ismail berkata beliau bersyukur kelab itu memenangi dua piala (Piala Sumbangsih dan Piala FA) pada tahun ini dan ia adalah pencapaian membanggakan sejak projek JDT dimulakan.
"Saya tidak pernah menyangka yang kita akan memenangi apa-apa piala pun, menang enam piala dalam masa tiga tahun adalah pencapaian yang sangat positif.
"Untuk Piala Malaysia, seperti yang saya katakan dahulu ia bukanlah keutamaan kerana yang menjadi tumpuan utama kami adalah kedudukan dalam liga dan memenangi Piala FA untuk bertanding dalam kejohanan AFC.
"Tetapi bagus juga saingan Piala Malaysia ini kerana kita dapat lihat jurulatih akan memberi lebih peluang kepada pemain simpanan untuk beraksi.
"Untuk Liga Super, kita berada pada kedudukan yang bagus dan saya berharap kita dapat keputusan yang baik dan positif," jelasnya.
Justeru tambah Tengku Ismail, JDT tidak meletakkan sasaran tinggi kerana sudah layak beraksi di saingan Piala AFC pada 2017.
"Walau apa terjadi, saya mengharapkan keputusan yang positif tetapi saya akan terima apa jua keputusan untuk kempen tahun ini.
"Kepada penyokong bola sepak tanahair dan JDT, saya sentiasa kekal positif dan JDT kini berada dalam kedudukan yang baik.
"Banyak lagi projek akan kami lancarkan di negara ini yang belum pernah lagi dilaksanakan di mana-mana. Kami juga lebih tumpukan projek kami bukan sahaja di peringkat domestik tetapi lebih meluas di peringkat antarabangsa," katanya.
