PKNS curi mata JDT di Larkin
Ketika JDT hampir pasti mengutip tiga mata penuh, PKNS memperoleh kesempatan terbaik untuk mencatat seri 2-2 pada aksi pertama Piala Malaysia 2016 kumpulan C, sebentar tadi.
Namun, beraksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, skuad Harimau Selatan masih mempertahankan rekod tanpa kalah di gelanggang keramat mereka musim ini.
Awal permainan menyaksikan penampilan anak buah Mario Gomez kurang menyakinkan, malah ditentang sengit pasukan pelawat.
Tanpa sebarang gol di separuh masa pertama, kedua-dua pasukan berjaya mencipta beberapa percubaan menarik.
Dengan penguasaan bola seimbang, JDT dilihat lebih banyak mencipta peluang melalui serangan balas pantas, manakala PKNS sekurang-kurangnya cuba melawan.
Ketiadaan pemain import seperti Juan Marti Lucero dan Hariss Harun serta kapten mereka Safiq Rahim di separuh masa pertama membuktikan betapa JDT mempunyai ramai pilihan pemain berkualiti.
Malah ketiga-tiga mereka itu diturunkan di separuh masa kedua menggantikan Safee Sali, Gary Steven Robbart dan Pereyra Diaz.
Sebelum dikeluarkan, Safee berjaya menjaringkan gol pertama JDT tiga minit sebaik perlawanan separuh masa kedua bermula dengan menyudahkan umpanan S Chanturu menewaskan penjaga gol PKNS, Mohd Nor Haziq Aris.
Sembilan minit berselang, Lucero melalui sentuhan pertama sebaik diturunkan Gomez berjaya menjaringkan gol kedua JDT untuk kedudukan 2-0.
Dalam masa sama, momentum serangan PKNS semakin mengendur dan JDT semakin selesa untuk menguasai permainan dan terus mengasak kubu pertahanan pasukan pelawat.
Sayangnya, tiga mata yang sedang digenggam JDT tercicir dengan dua kesilapan mudah mereka.
PKNS berjaya meraih gol pertama selepas Safiq melakukan kesilapan apabila gagal menyempurnakan hantaran tepat kepada rakan sepasukan dan disambar penyerang PKNS, Gabriel Guerra sekali gus memperdayakan Farizal Marlias pada minit ke-83.
PKNS kemudian berjaya meyamakan kedudukan 2-2 melalui sepakan penalti Juan Manuel Cobelli yang dihadiahkan pengadil apabila bola terkena tangan pemain JDT di minit-minit akhir permainan.
Keputusan-keputusan lain:
Felda United 3-1 Negeri Sembilan
Kelantan 1-0 Pahang
Melaka United 2-1 Terengganu
T-Team 2-2 JDT II
Selangor 1-0 Kuala Lumpur

