Vida rai kejayaan Kelantan dengan tapai, kopi o
Sejurus kemenangan besar Kelantan 6-1 menewaskan pasukan jiran Terengganu malam tadi, Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Hasmiza Othmas ada cara tersendiri untuk meraikan.
Hasmiza juga dikenali sebagai Vida turut disertai Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa untuk sesi menikmati hidangan lewat malam iaitu tapai, ketupat palas dan minuman kopi o.
Melalui satu video yang dimuat naik di akaun Instagramnya, Hasmiza menulis, beliau meraikan kemenangan pasukan Kelantan.
Mungkin masih dengan suasana berhari raya, Hazmiza dan Annuar dihidang makan tradisi musim perayaan itu.
"Malam pada pukul 2.15 pagi minum kopi o, klasiknya kpoi o dalam bocong (termos).
"Ketupat tiga bucu, ada tapai daun getah. Nak (kena) suap ke Tan Sri," katanya bergurau disusuli ketawa besar.
Sebagai rekod, Hasmiza juga penaja utama skuad kijang itu melalui syarikat kecantikan milinya, Vida Beauty Sdn Bhd.
Jutawan kelahiran Machang, Kelantan itu sebelum ini mengejutkan industri bola sepak negara apabila tampil menaja pasukan Kelantan bermula Januari lalu.
Terdahulu, pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus menyaksikan barisan pemain bimbingan Velizar Emilov Popov mengitup tiga mata penuh dengan jaringan terbanyak mereka sepanjang musim ini.

